Program vaksinasi Brunei Sabtu ini

BANDAR SERI BEGAWAN 1 April – Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, berkenan menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di Istana Nurul Iman hari ini.

Menteri Kesihatan, Dr Mohd Isham Jaafar yang mengumumkan demikian berkata, dengan suntikan pertama itu, baginda memperkenankan Program Vaksinasi Kebangsaan Covid-19 dimulakan.

Bercakap pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 Brunei Darussalam petang ini, Dr Mohd Isham berkata Program Vaksinasi Kebangsaan itu akan bermula Sabtu ini yang melibatkan tiga fasa.

Fasa pertama akan memberi keutamaan kepada petugas barisan hadapan, warga emas berusia 60 tahun ke atas dan juga pelajar-pelajar yang akan melanjutkan pengajian mereka di luar negara.

Fasa kedua, kakitangan pusat penjagaan kanak-kanak, orang dewasa berisiko tinggi dan guru manakala fasa ketiga orang ramai yang berusia 18 tahun keatas.

Menurut Dr Mohd Isham, tiga vaksin yang menjadi pilihan Brunei Darussalam adalah Oxford-AstraZeneca, Pfizer-BioNTech dan Sinopharm.

Mengenai kes jangkitan harian, satu kes import baharu direkodkan hari ini melibatkan seorang lelaki berusia 49 tahun yang tiba dari Filipina pada 17 Mac lalu.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 213 dengan tiga kematian dan 195 sembuh.
Katanya setakat ini 72 kes import dilaporkan dan Brunei memasuki hari ke 330 tanpa kes jangkitan tempatan sejak 6 Mei 2020.

Sebanyak 15 kes masih aktif dan semuanya dalam keadaan baik.

(Foto Kementerian Kesihatan)

Related posts

Leave a Comment