Permaisuri ‘kembali’ ke bilik berita

KUALA LUMPUR 1 April – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menzahirkan ucapan syabas dan tahniah di atas sambutan ulang tahun ke-75 Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini.

Baginda berharap agar RTM terus menjadi wadah penyebar maklumat dan informasi yang tepat dan telus kepada rakyat jelata, serta terus relevan sebagai sumber media utama yang sahih dan berkaliber.

Bersempena sambutan Hari Ulang Tahun RTM ke-75 ini juga, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli menerima undangan istimewa daripada Bilik Berita RTM untuk menyampaikan berita secara langsung dalam slot Berita Perdana,  8 malam di Studio Wisma Berita, Angkasapuri.

Ini adalah kemunculan julung-julung kali Baginda di saluran RTM sebagai penyampai berita, setelah kali terakhir ke udara lima tahun lalu pada 31 Ogos 2016.

Untuk rekod, Tengku Permaisuri Norashikin pernah bertugas sebagai Penyampai Berita TV di RTM selama 20 tahun bermula pada tahun 1996.

Baginda pernah diiktiraf sebagai Penyampai Berita TV Terbaik sebanyak dua kali di Anugerah Seri Angkasa iaitu pada tahun 2001 dan 2005.

Related posts

Leave a Comment