AUKU: Tiada pihak berkepentingan disisihkan

KUALA LUMPUR 12 Sept.  – Menteri Pendidikan Tinggi, Dr Zambry Abdul Kadir berkata, tiada pihak berkepentingan akan disisihkan dalam pembentukan akta baharu bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

Beliau memaklumkan, pihaknya sudah memulakan perbincangan berhubung perkara itu dengan semua pihak berkepentingan dan berkaitan.

“Saya tidak mahu mana-mana kumpulan pun tertinggal apabila kita mahu mewujudkan sebuah akta baharu bagi menggantikan AUKU.

“Saya sudah mengadakan beberapa siri pertemuan dengan wakil pertubuhan seperti dalam kalangan akademik, pentadbir serta mahasiswa,” katanya ketika mengunjungi Laman Media Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Zambry berkata, beliau sudah berjumpa dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) termasuk di peringkat kebangsaan yang mewakili semua universiti di seluruh negara bagi membincangkan perkara itu.

“Mereka (MPP) juga mengadakan perbincangan dalam kumpulan mereka sendiri dan ada yang setuju, ada juga tidak. Jadi dapatan ini, kita akan gabungkan untuk melihat yang terbaik.

“Saya mahu satu akta komprehensif yang mengambil kira semua pandangan kerana kita ingin mewujudkan sebuah akta baharu bukan jangka pendek tetapi untuk masa depan negara.

“Saya sebut banyak kali AUKU perlu meliputi semua aspek termasuk penubuhan universiti, tadbir urus serta aspek itu berkaitan mahasiswa,” katanya.

Pada 15 Ogos lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan memansuhkan AUKU yang mengundang pelbagai pandangan dengan ada yang bersetuju dan tidak bersetuju, atas alasan atau pandangan masing-masing.

Nnn

Related posts

Leave a Comment