Bangkitlah tanpa ihsan parti lain – Tok Mat

KUALA LUMPUR 12 Sept. – UMNO tidak boleh mengharapkan ihsan mana-mana parti politik lain untuk bangkit semula, sebaliknya perlu bergantung kepada kekuatan dalaman parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan, berkata tiada parti lain yang benar-benar mahu melihat UMNO kembali kuat kerana setiap parti mempunyai kepentingan politik masing-masing.

“Tak ada siapa yang nak melihat UMNO bangkit semula. Berbohonglah saya jika saya katakan ada parti lain yang nak membimbing kita untuk kita bangkit dan bangun semula.

“Jangan kita mimpi di siang hari, tak ada satu parti pun yang nak melihat kita bangkit semula. Semuanya nak melihat kita dibenamkan ataupun ditalkinkan,” katanya ketika sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Hasan yang juga Menteri Luar Negeri berkata, konsep tafahum siyasi perlu mempunyai batasan.

“Apabila kita kuat orang tidak boleh memperkotak-katikkan kita. Ada orang yang cuba mengambil peluang, menganggap kita lemah dan mengambil kesempatan untuk bersama-sama kita. Tetapi percayalah, kita pernah berpengalaman dikecewakan. Jadi, jangan kita kecewa banyak kali.

“Walaupun ada konsep yang disebut oleh Presiden, iaitu tafahum siyasi ataupun persefahaman. Cukuplah setakat persefahaman. Jangan kita terbawa-bawa sehingga kita lupa bahawa membina kekuatan sendiri itu adalah perkara yang utama,” katanya.

Justeru, beliau meminta para perwakilan, kembali ke kawasan masing-masing dan memulakanlah gerak kerja menyusun jentera parti

“PRN Melaka tidak lama lagi. Pakat elok-elok. Muafakat biar bulat dengan pemikiran yang bersatu. Apabila kita berunding, jangan berselisih. Kalau tidak betul, jangan kompromi. Kita ada maruah. Jangan gadaikan maruah kita demi mendapat tempat.

“UMNO tidak pernah mengharapkan ehsan orang. UMNO tidak ditubuhkan kerana ehsan orang. UMNO ditubuhkan kerana kita mahu membela orang Melayu, agama dan tanah air kita.

“Jadi, pesan saya ini bukan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sahaja… tetapi juga kepada rakan-rakan yang lain. Jangan sekali-kali mengharapkan ehsan orang. Insya-Allah, kami akan turun ramai-ramai.,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment