KUALA LUMPUR 12 Sept. – UMNO akan terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga penghujung penggal pentadbiran selaras dengan resolusi yang telah diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO, kata Presidennya, Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, pendirian parti itu kekal jelas dan tidak bercanggah dengan mana-mana pihak, termasuk Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
“Pendirian kita tidak menyanggah mana-mana pihak, terutamanya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, kerana resolusi yang dibuat dalam Perhimpunan Agung UMNO harus dihormati.
“Kita akan terus bersama-sama Kerajaan Perpaduan yang ada ini hingga akhir penggal. Kita juga tidak mengetahui bila penghujung penggal tersebut,” katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di sini pada Sabtu.
Menurut Ahmad Zahid, perbezaan pandangan dalam sesebuah kerajaan adalah perkara biasa dan perlu dihormati oleh semua pihak.
Bagaimanapun, katanya, pemimpin UMNO yang menganggotai Jemaah Menteri sentiasa menjalankan tanggungjawab secara profesional demi kepentingan rakyat dan negara.
“Sepanjang kita berada dalam kerajaan, memang wujud perbezaan pendapat. Namun, kita merupakan anggota Jemaah Menteri dan kepimpinan parti yang profesional.
“Kita mengambil pendirian bahawa perbezaan pendapat perlu dihormati. Pada masa yang sama, kita juga menghormati pandangan yang dikemukakan oleh pihak lain,” katanya.
Berhubung pandangan pelbagai isu yang dibangkitkan oleh perwakilan serta jurucakap sayap parti sepanjang PAU berlangsung, Ahmad Zahid menjelaskan, ia sekadar pandangan peribadi dan bukannya pendirian rasmi parti.
Sebarang pendirian rasmi UMNO hanya sah sekiranya dikeluarkan secara rasmi melalui kenyataan media daripada Setiausaha Agung atau beliau sendiri.
“Kita tidak membalas atau membidas mana-mana parti rakan yang mengadakan kongres atau konvensyen mereka sebelum ini. Jika kita boleh menghormati perbezaan pandangan mereka, mereka juga pasti boleh menghormati pandangan jurucakap sayap dan negeri-negeri kita,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengabsahkan Agenda Malaysia Biru yang dibentangkan dalam ucapan dasarnya akan dijadikan landasan utama untuk ditawarkan kepada ahli parti dan seluruh rakyat Malaysia.
Katanya, agenda mengandungi lapan teras utama itu turut diangkat sebagai elemen penting dalam penyediaan manifesto Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
“Ia akan menjadi manifesto rasmi selepas kita berbincang dengan kepimpinan rakan komponen BN serta ‘Friends of BN’. Perkara ini tidak harus dijadikan polemik di luar oleh mana-mana penganalisis kerana ia adalah dasar serta tawaran rasmi kami,” katanya.
