26 kes import di Singapura

SINGAPURA 1 April – Sebanyak 26 kes baharu Covid-19 dilaporkan di Singapura setakat pukul 12.00 tengah hari ini dengan kesemuanya adalah kes import yang dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sebaik tiba di Singapura.

Kementerian Kesihatan (MoH) dalam satu kenyataan memaklumkan tiga kes melibatkan rakyat Singapura yang pulang dari Indonesia, Yeman dan India, satu kes seorang Penduduk Tetap Singapura (PR) yang pulang dari Belgium.

Sebanyak 17 kes adalah pemegang permit kerja yang tiba dari Jepun, Bangladesh, India, Indonesia, Filipina dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE), dengan tiga daripada mereka adalah pembantu rumah asing.

Dua lagi kes adalah pemegang pas pelajar yang tiba dari India, seorang pemegang pas kerja yang tiba dari Jepun, dua pemegang pas lawatan jangka pendek dari Indonesia dan India untuk menziarahi keluarga yang merupakan rakyat Singapura.

MoH juga memaklumkan 12 lagi kes dibenarkan keluar hospital, menjadikan jumlah kes sembuh sebanyak 60,161 manakala 38 kes masih menerima rawatan.

Sebilangan besar kes dalam keadaan stabil dan seorang dirawat di unit jagaan rapi.

Related posts

Leave a Comment