Koo Ham tidak berpijak di bumi nyata

KUALA LUMPUR 29 Dis. –  UMNO menolak pelantikan pakar bukan Islam dalam Jawatankuasa Mengkaji Bidang Kuasa Mahkamah Syariah, malah menyifatkan cadangan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham sebagai ‘tidak berpijak di bumi nyata.’

Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penegasan itu sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya , cadangan wakil rakyat DAP berkenaan juga hanya akan mencetuskan polemik tidak perlu dalam suasana harmoni rakyat pelbagai agama dan kaum selama ini.

Tambahan pula, Mahkamah Syariah dikhususkan kepada rakyat beragama Islam, manakala proses menambah baik dan menaik tarafnya sejak UMNO menerajui kerajaan sebelum ini juga sentiasa dilaksanakan secara bertahap dan mengambil kira ruang lingkup kuasa dibenarkan Perlembagaan Persekutuan.

Bahkan, beliau menekankan sepanjang proses menaik taraf Mahkamah Syariah meliputi aspek pentadbiran, kompetensi, emolumen dan penggajian hakim serta pegawai, serta bentuk dan tahap hukuman diperuntukkan bawah kuasa mahkamah itu, ia tidak pernah sekali-kali mengambil mahupun mencabuli hak warga bukan Islam.

“Ini juga sejajar peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu sebagai pemelihara serta pelindung kepada kesucian agama Islam sebagai Agama Persekutuan, pada masa sama mengiktiraf kebebasan agama-agama lain untuk diamalkan di negara ini.

“Justeru, berikanlah kepercayaan dan keyakinan kepada Majlis Raja-Raja Melayu dalam menentukan panel yang bakal menganggotai jawatankuasa itu kelak. Tentunya DYMM Tuanku Raja-Raja Melayu amat bijaksana dan pasti mengambil kira segala aspek, termasuk bidang kuasa diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dalam mengabsahkan terma-terma rujukan jawatankuasa itu,” katanya melalui Facebook, malam tadi.

Beliau percaya, apa jua dapatan jawatankuasa ini kelak pastinya akan dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu setelah diteliti segala aspek yang terkait dengan Perlembagaan.

“Malah jika ada sebarang cadangan yang melibatkan pindaan Undang-undang mahupun Perlembagaan sekalipun, tentu sekali prosesnya akan turut melibatkan Ahli-ahli Parlimen Bukan Islam yang punya kuasa untuk membahas, menyokong, meminda mahupun menolak cadangan-cadangan yang terkait dengan penggubalan undang-undang mahupun Perlembagaan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan disaran melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang ditubuhkan pada awal bulan ini.

Koo Ham dipetik sebagai berkata, langkah itu bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.

Nnnn

 

Related posts

Leave a Comment