KUALA LUMPUR 12 Sept. – Hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2026 hari ini menyaksikan UMNO memberi kata dua kepada Kerajaan Perpaduan sama ada meraih semula mandat melalui Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) atau menyingkirkan parti itu secara rasmi.
Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata gesaan itu dibuat selepas mengambil kira desakan supaya UMNO tidak lagi menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha mengeluarkan parti itu daripada Kerajaan Perpaduan perlu dibuat melalui undi tidak percaya yang perlu dibentang di Dewan Rakyat.
“Ada berani ke? Kalau berani buatlah cepat. Asas pembentukan (Kerajaan Perpaduan) ialah 82 (ahli Dewan Rakyat) Pakatan Harapan (PH) dan kita ada 30 (Ahli Parlimen). Asasnya 112 (wakil rakyat),” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO 2026 di sini, hari ini.
Bagaimanapun, daripada 112 wakil rakyat itu, tiga daripada PKR sudah keluar masing-masing Datuk Seri Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Wong Chen.
Beliau pada masa sama mengingatkan bahawa kerjasama membentuk Kerajaan Perpaduan dibuat berlandaskan amanah kenegaraan serta mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong.
“Matlamat utama UMNO dan BN adalah memastikan kestabilan pentadbiran negara demi kepentingan rakyat, bukannya mengorbankan perjuangan parti. Kerjasama kita bentuk atas amanah kenegaraan, patuh pada titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong.
“Niat kita apa? UMNO dan BN kita mahu wujudkan kestabilan pentadbiran demi kepentingan rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya.
Terdahulu, beliau mengingatkan ‘ceplos’, jangan mencabar UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan, sebaliknya menasihatkan mereka supaya mengenang peranan parti itu dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan.
“Kerajaan Perpaduan jadi sebab UMNO tahu. Perdana Menteri jadi Perdana Menteri sebab sokongan UMNO tahu. Bila sudah ada 153 (sokongan ahli Dewan Rakyat) engkau ingat…,” katanya.
Justeru, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menasihatkan ‘ceplos’ untuk kembali merujuk perjanjian persefahaman ditandatangan parti komponen yang membentuk Kerajaan Perpaduan, sebelum ini.
“Perjanjian persefahaman untuk membentuk kerajaan gabungan dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan Malaysia… mana sebut kerajaan… Ini ada definisi dan tafsiran, melainkan keadaan dan konteks sebaliknya diperlukan.
“Terma berikut atau ekspresi hendaklah mempunyai maksud berikut – perjanjian persefahaman kerjasama hendaklah bermaksud perjanjian ini atau perjanjian tambahan dibuat selepas berkaitan pembentukan dan operasi Kerajaan Perpaduan Malaysia,” katanya.
Nnnn
