Bersatu perkasa kerjasama PN

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan terus memperkasa gerak kerja bersama rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Pas, STAR, SAPP dan Gerakan berlandaskan perjuangan yang jujur dan ikhlas kepada rakyat bagi memenangi pilihan raya umum akan datang.

Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin berkata, Bersatu juga berpendirian bahawa Kerajaan PN  pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin masih utuh dan berfungsi untuk memberi khidmat kepada rakyat.

Katanya, Bersatu memandang serius kandungan surat yang dihantar Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi pada 26 Februari lalu kerana ia mempunyai implikasi yang besar terhadap kerjasama di antara UMNO, Bersatu dan PN pada masa hadapan.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu hari ini.

Hamzah berkata mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang dipengerusikan Muhyiddin turut menzahirkan kesyukuran atas kejayaan kerajaan PN menempuhi tempoh satu tahun mentadbir negara.

“Dalam tempoh pentadbiran satu tahun itu, kerajaan Perikatan Nasional telah berjaya menjulang prinsip-prinsip urus tadbir kerajaan yang baik, telus serta berintegriti terutamanya dalam memelihara kebebasan badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang.

“Dalam menghadapi pandemik COVID-19 dan situasi ekonomi yang mencabar, kestabilan politik adalah amat penting bagi memastikan segala perancangan kerajaan dapat direalisasikan dengan berkesan,” katanya lagi.

Justeru, ujarnya Bersatu menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua parti politik yang setia dan istiqamah dalam mendokong serta mempertahankan aspirasi kerajaan PN.

Related posts

Leave a Comment