KUALA LUMPUR 12 Sept. – Sebuah jawatankuasa khas akan dibentuk bagi mengendalikan perundingan kerjasama politik selain mempertimbangkan desakan perwakilan yang mahu parti itu memfokuskan rundingan secara terus dengan Pas berbanding Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata jawatankuasa berkenaan akan dibentuk oleh pucuk pimpinan parti bagi memetakan hala tuju serta strategi kerjasama politik pada masa akan datang.
Kata, walaupun siri pilihan raya sebelum ini menyaksikan perbincangan diadakan bersama Pas dan PN, namun kecenderungan majoriti jurucakap pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ini memperlihatkan fokus yang berbeza.
“Jawatankuasa perundingan akan dibentuk oleh kepemimpinan parti. Kita seperti mana dalam pilihan raya lalu, memang mengadakan rundingan dengan Pas dan juga PN.
Tetapi kalau kita lihat daripada perbahasan dan daripada perwakilan, wujud kecenderungan untuk kita memfokuskan kepada perundingan dengan kepemimpinan Pas berbanding dengan melihat dalam konteks PN itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Laman Media Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Mengenai Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), beliau berkata, ia wajar segera dilaksanakan kerana tempoh pentadbiran kerajaan ketika ini sudah memasuki ‘edah pilihan raya’.
Katanya, ‘edah pilihan raya’ merujuk tempoh selepas tiga tahun sesebuah kerajaan mentadbir yang membolehkan pilihan raya diadakan, walaupun tempoh maksimum lima tahun bagi sesuatu Parlimen masih belum berakhir.
“Bagi pandangan UMNO, seperti mana yang kita lihat daripada perbahasan perwakilan, kita sudah sampai kepada edah pilihan raya. Cuma belum tamat tempoh lima tahun.
“Edah pilihan raya maknanya apa sahaja selepas tiga tahun, itu adalah edah-edah yang dibolehkan untuk mengadakan pilihan raya,” katanya.
Asyraf berkata, UMNO melihat sebarang perancangan besar yang ingin dilaksanakan atau ditawarkan kepada rakyat perlu mendapat mandat jelas daripada mereka, khususnya apabila membabitkan agenda besar parti.
Beliau berkata, perkara itu turut disuarakan perwakilan UMNO bukan sahaja pada PAU, malah dalam persidangan sayap parti.
Bagi UMNO, seperti disebutkan oleh Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dan juga disebutkan oleh perwakilan, bukan saja di peringkat PAU tetapi di peringkat sayap-sayap.
“Sebagai kerajaan ataupun sebagai parti yang bertanggungjawab, apa juga perancangan besar yang parti ingin lakukan, yang ingin kita tampilkan kepada rakyat adalah amat wajar untuk kita memberikan mandat itu kepada rakyat untuk memilih,” katanya.
Asyraf berkata, situasi itu pernah berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila pilihan raya diadakan selepas tempoh pentadbiran kerajaan negeri mencecah empat tahun satu bulan.
Katanya, ketika itu kerajaan negeri mempunyai perancangan besar untuk tempoh 10 tahun akan datang menerusi gagasan ‘Johor Maju Johor’ yang memerlukan mandat jelas daripada rakyat.
“Jadi ia tidak boleh syok sendiri, ia mesti mendapat mandat yang jelas daripada rakyat,” katanya.
Nnn
