Andalusia sasar urus 60,000 jemaah

KUALA LUMPUR 12 Jun – Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd menyasarkan untuk menguruskan kira-kira 60,000 jemaah haji dan umrah bagi musim 1444H dengan nilai jualan pakej mencecah RM300 juta.

Pengarah yang juga Penasihat Undang-Undangnya, Ida Riswana Idris, berkata pihaknya yakin jumlah itu mampu dicapai berdasarkan sambutan menggalakkan daripada pelanggan sejak perjalanan umrah dibenarkan semula sejak Oktober lalu.

Katanya, keputusan kerajaan Arab Saudi melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) umrah dari semasa ke semasa bagi memudahkan umat Islam beribadat di Tanah Suci menyebabkan permintaan luar jangkaan jemaah.

Beliau berkata selepas hampir dua tahun cabaran pandemik Covid-19 yang memberi kesan kepada syarikat pelancongan, syarikat berjaya menguruskan 14,000 jemaah umrah bagi musim 1443H walaupun dalam tempoh yang singkat.

Ida Riswana berkata demikian selepas majlis menandatangani perjanjian penerbangan Malaysia Airlines A330-200 antara Andalusia dan Malaysia Airlines Berhad (MAB) bagi musim 1444H di sini, hari ini.

Perjanjian dimeterai bagi membawa 34,000 jemaah umrah menerusi penerbangan terus ke Madinah bermula Ogos ini hingga Mei 2023.

Kerjasama itu juga bagi membantu agensi pelancongan lain yang terkesan akibat pandemik untuk meneruskan perniagaan mereka secara perkongsian tiket dan ‘ground’ di Makkah dan Madinah.

Selain Malaysia Airlines, Andalusia turut menggunakan Saudi Airlines dan Turkish Airlines bagi urusan penerbangan jemaah.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Amal by Malaysia Airlines, Muhammad Najmi Mansor yang mewakili MAB.

Ida berkata, kerjasama dengan MAB yang bermula sejak 2016 diharap membuka semula peluang pekerjaan dan memacu kembali sektor pelancongan.

Menurut beliau, maklum balas yang diterima, jemaah berpuashati dengan perkhidmatan serta hospitaliti disediakan Malaysia Airlines.

Katanya, bagi persiapan menghadapi pemulihan industri, pihaknya juga sudah mengambil langkah mengiklankan pengambilan 100 pekerja baharu.

Andalusia juga mengadakan kursus tiga hari berakhir hari ini (semalam) bagi melatih 280 pekerja di ibu pejabat dan 43 cawangan syarikat, mutawwif serta pegawai pemasaran yang antara lain bagi membina semula semangat mereka selepas pandemik.

Related posts

Leave a Comment