2,269 kes, 72 kematian di Filipina

MANILA 25 Feb. – Jabatan Kesihatan (DoH) merekodkan 2,269 kes baharu Covid-19 yang membawa jumlah keseluruhan 568,680 kes.

Setakat pukul 4 petang, jumlah kematian meningkat kepada 12,201 orang termasuk 72 orang lagi pesakit dilaporkan meninggal dunia hari ini.

Pada masa yang sama, sebanyak 738 lagi pesakit sembuh dan ini membawa kepada 524,042 orang pulih  atau 92.2 peratus daripada keseluruhan kes.

Jumlah kes aktif pula 32,437 atau 5.7 peratus.

Sementara itu Filipina dijangka menerima bekalan pertama vaksin Covid-19 pada hujung minggu ini bagi membolehkan program imunisasi negara itu dimulakan minggu depan.

Filipina menjadi negara terakhir di Asia Tenggara yang menerima bekalan vaksin.

Sejumlah 600,000 dos vaksin Sinovac Biotech disumbangkan oleh China.

Antara individu terawal yang akan divaksinasi ialah seorang pegawai dari sebuah hospital yang kehilangan kedua-dua ibu bapanya akibat virus korona, dan juga seorang pemandu beca roda tiga.

Filipina telah menempah sejumlah 25 juta dos vaksin Sinovac dan sepatutnya menerima bekalan pertama pada 23 Februari lalu, tetapi ditangguhkan.

Selain Sinovac, 10,000 dos vaksin yang dibangunkan Sinopharm dari China juga bakal diterima, selain vaksin AstraZeneca yang dijadualkan tiba pada Mac.

Related posts

Leave a Comment