SOP mengisi kantung kosong dan perut yang keroncong

RESTORAN, kedai dan gerai makan mula sibuk hari ini. Selama beberapa minggu pelanggan bungkus dan bawa pulang atau hanya kelibat penghantar makanan yang ramai. Situasi hari ini berubah walaupun dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

PKP 2.0 tidak sama seperti PKP 1.0. PKP yang sedang dilalui hari ini lebih kurang sama dengan PKP Pemulihan, hanya rentas daerah dan negeri tidak dilonggarkan. Yang lain rasanya sudah hampir menyamai PKPP.

Kelonggaran menjelang berakhirnya PKP 2.0 pada 18 Februari ini adalah demi menjaga ‘kantung’ rakyat yang terlibat dalam sektor perniagaan. Tak apalah demi ‘mengisi kantung yang hampir kosong’ dan ‘mengisi perut yang keroncong’.

Sebelum ini pemilik gerai seperti Makcik Kiah yang menjual pisang goreng serta pemilik kedai makan seperti Pak Salleh boleh berniaga seperti biasa tetapi hanya untuk dibungkus. Masih boleh berniaga tetapi tidak sama seperti dahulu.

Berbalik ke restoran, tabiat rakyat memang sukar diubah. Ramai lebih gemar makan di kedai atau restoran. Memang tidak selesa atau janggal makan malam ikan bakar, makanan laut dan sebagainya dibungkus untuk makan di rumah.

Tidak hairanlah tular mengenai ada dalam kalangan orang ramai yang makan dalam kereta disebabkan kerinduan makan di luar (dalam kedai).

Apa pun kerinduan itu kini terubat. Pak Salleh dan rakan-rakannya sudah mampu senyum lebar kerana kedai mereka sudah boleh menerima pelanggan untuk makan-makan seterusnya boleh sembang dan lepak bersama rakan taulan.

Tetapi sejauh mana Pak Salleh dan pekerjanya mampu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP)? Begitu juga dengan pelanggan. Adakah mereka sedia mematuhi SOP tanpa pengawasan pasukan penguat kuasa?

Kelonggaran PKP 2.0 yang diberi memerlukan kerjasama peniaga dan pelanggan. Peniaga perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Pekerja perlu memakai pelitup muka ketika bercakap dengan pelanggan semasa mengambil tempahan.

Peniaga dan pekerja mereka perlu berani menegur pelanggan yang gagal mematuhi SOP. Biasanya peniaga tidak berani membuat teguran kerana ada pelanggan yang akan marah-marah. Maklumlah ‘pelanggan selalunya benar’.

Pelanggan pula bukan sekadar perlu patuh SOP tetapi harus bersedia menerima teguran. Jangan abaikan SOP sehingga tindakan mereka boleh menimbulkan masalah kepada orang lain.

Ada pelanggan yang sengaja melanggar SOP yang sudah tersenarai malahan melakukan kesalahan lain seperti merokok atau menghisap vape di dalam kedai.

(Nota: Hembusan asap vape pesakit Covid-19 boleh menyebarkan ribuan partikel virus ke arah individu berhampiran. Ia juga mampu menyebarkan virus Covid-19 sehingga 2 meter jaraknya, melepasi penjarakan fizikal).

Mereka ini tahu merokok dan vape di premis itu satu kesalahan ( jika peraturan itu masih terpakai) tetapi tidak ambil peduli. Tambahan pula peniaga tidak berani menegur. Maka kesalahan yang nyata – melanggar SOP – berlaku secara ‘terbuka’.

Satu perkara lagi, apakah yang dimaksudkan dengan jarak fizikal satu meter? Adakah jarak antara meja ke meja atau pelanggan dengan pelanggan? Jika jarak meja ke meja, ini tidak menimbulkan masalah.

Susunan meja boleh dikurangkan. Selepas ini akan ada permintaan supaya situasi dua orang semeja itu dilonggarkan lagi.

Apa yang diharapkan juga, pengurangan meja makan disebabkan penjarakan satu meter akan mendorong pelanggan lebih peka dengan keperluan orang lain. Jika tujuan ke restoran untuk makan, bangunlah segera setelah selesai menjamu selera.

Jangan buang masa bersembang atau lepak sedangkan di luar restoran masih ramai menunggu untuk mendapatkan tempat. Dalam hal ini fikirlah sendiri tanpa perlu merujuk SOP (jika ada had masa).

Ingat, matlamat ke restoran untuk makan. Dan ingat, Covid-19 sudah ada dalam masyarakat. Musuh yang tidak kelihatan ini ada di sekeliling kita. Kita bukan sekadar mahu menjaga kita tetapi juga keluarga dan orang lain.

Hargai rayuan yang ditunaikan. Jangan ketika ada yang berpeluang mengisi kantung yang kosong dan mengisi perut yang keroncong, rantaian Covid-19 semakin sukar diputuskan.

Related posts

Leave a Comment