Covid-19: 6 restoran langgar peraturan ditutup

SINGAPURA 10 Feb. – Tidak serik. Begitulah yang terjadi ke atas Restoran Zam Zam di North Bridge Road yang dikenakan tindakan, kali ini diarah tutup mulai semalam hingga 18 Februari kerana melanggar undang-undang kawalan keselamatan yang berkuatkuasa ketika pandemik Covid-19.

Sebelum ini, pada 22 Mei dan 19 Disember 2020, restoran yang sama didenda $1,000 dan $2,000 atas kesalahan yang sama.

Restoran berkenaan adalah antara enam lokasi jualan makanan dan minuman di Singapura yang gagal mematuhi ketetapan agensi kerajaan yang menjalankan pemeriksaan menjelang Tahun Baharu Cina sepanjang beberapa minggu lalu.

Menurut kenyataan Kementerian Kemampanan dan Sekitaran hari ini, Restoran Zam Zam didapati menempatkan tempat duduk kumpulan pelanggan pada jarak kurang satu meter pada 5 Februari lalu.

Lima restoran lain yang diperintahkan ditutup termasuk Restoran Ah Yat Seafood di Turf Club; Restoran East Treasure Chinese di River Valley; Crystal Jade Jiang Nan di VivoCity; Ding Garden di New Bridge Road dan Restoran Wangzi Music di New Bridge Road.

Kenyataan itu menambah, rangkaian restoran India, Banana Leaf Apolo, juga akan dihadapkan ke mahkamah pada 17 Februari kerana melanggar beberapa langkah pengurusan keselamatan termasuk menyediakan khidmat bufet layan diri di cawangan Little India Arcade. 

Sementara itu seramai 73 individu juga dikenakan denda S$300 kerana melanggar undang-undang Covid-19 di taman dan pantai pada 6 dan 7 Februari lalu.

Peraturan berkenaan termasuk berhimpun dalam kumpulan melebihi lapan orang dan pergaulan antara kumpulan. Daripada jumlah itu, 39 melakukan kesalahan di Taman Pantai Changi, termasuk 17 orang yang didapati berhimpun.

Related posts

Leave a Comment