Kalau takut air tercemar jangan bina industri di tepi sungai

SUNGAI yang menjadi punca air bersih tercemar lagi. Entah kali yang ke berapa. Isu pencemaran air sungai bukanlah sesuatu yang baharu. Isu lama. Basi. Masihkah kita ingat bagaimana pada mulanya pemancing dipersalahkan, dikatakan sabotaj pada Julai 2019 apabila Sungai Selangor tercemar?

Selaklah kembali beberapa insiden dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini. Cuba selak kenyataan Menteri Besar (MB) Selangor, Khalid Ibrahim, Mohamed Azmin Ali dan Amirudin Shari mengenai punca dan tindakan setiap kali air sungai dicemari.

Melalui ruangan Selak Utusan Malaysia pada 10 Oktober 2016, saya pernah menulis isu ini di bawah tajuk “Air: Ujian atau pembalasan angkara perbuatan manusia”.  Begitu juga tulisan “Perkasa penguatkuasaan bukan menuding jari” ( 27.07.2019). Boleh rujuk ARCHIVES selak-selak.com

Rakyat Selangor dan sekitarnya sudah ‘lali’. Sampai bila ia akan terus berulang? Ketiadaan bekalan air ketika musim kemarau masih boleh diterima. Tetapi kelmarin, ketika bekalan air terputus akibat angkara manusia, orang ramai keluar ‘mencari air bersih’ semasa hujan. Memang pelik. Air tiada di luar musim kemarau.

Dalam hal ini, siapa yang bersalah? Pastinya, semua ini angkara manusia yang tidak tahu menghargai alam. Akibat perbuatan mereka, 1.97 juta akaun air yang dianggarkan melibatkan lima juta pengguna terjejas. Kilang disyaki menjadi punca pencemaran bau, melepaskan bahan pelarut ke dalam Sungai Gong yang mengalir ke Sungai Sembah iaitu antara sungai utama bagi Sungai Selangor.

Kesannya, empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang terpaksa menghentikan operasi.

Puncanya sama. Pencemaran. Adakah kita tidak pernah belajar untuk mengelakkan pencemaran berulang? Sekadar contoh beberapa kenyataan Menteri Besar terdahulu dan kini, Khalid, Azmin dan Amirudin mengakui bahawa pencemaran sebagai punca masalah. Malangnya sekali sungai tercemar, sekali bau air berubah dan sekali tindakan berubah.

9 SEPTEMBER 2010 : Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid  Ibrahim berkata masalah pencemaran sisa buangan mengandungi ammonia yang mengalir ke dalam Sungai Kembong yang menjadi sumber air mentah Loji Rawatan Air Sungai Semenyih telah berkurangan. Menurut laporan akhbar semalam, sisa buangan mengandungi ammonia daripada pusat pelupusan sampah berdekatan Sungai Kembong itu dikendalikan oleh Worldwide Holdings Bhd mengalir ke sungai itu kerana ban yang dibina untuk untuk menahan sisa buangan itu pecah.

5 SEPTEMBER 2013 : Semua permohonan untuk membina kilang sementara, bengkel, restoran dan ladang ternakan di kawasan rizab sungai di negeri Selangor telah dibekukan berkuatkuasa serta-merta. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata keputusan tersebut dibuat bagi memastikan insiden tumpahan diesel di Sungai Selangor yang menyebabkan gangguan bekalan air pada minggu lalu tidak berulang lagi.

13 OKTOBER 2014 : Pencemaran di Sungai Selangor yang menyebabkan beberapa loji rawatan air (LRA) dihentikan operasinya adalah berpunca daripada pembuangan sisa industri ke dalam sungai. Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali bagaimanapun berkata pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor sedang menyiasat untuk mengenal pasti punca sebenar bagaimana insiden itu berlaku.

22 JULAI 2019 : Perbuatan khianat dipercayai punca pencemaran minyak diesel atau benzena di Sungai Selangor yang dikesan petang semalam. Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata ia berikutan minyak terbabit dikesan memasuki aliran air dari sebuah pontun yang sudah tidak beroperasi sejak dua bulan lalu. Beliau berkata, susulan itu, sejumlah 100 liter minyak terlepas ke dalam aliran Sungai Selangor yang kemudian dikesan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang.

Itu beberapa kenyataan yang dibuat oleh pemimpin setiap kali berjuta pengguna air terpaksa ‘mencari air’ bersih. Selepas ini, ada jaminan tidak berulang?

Cukupkah setiap kali berlaku pencemaran pesalah hanya didenda dan diarah menghentikan operasi industri atau aktiviti mereka? Di manakah langkah penguatkuasaan dan pencegahan supaya tidak berulang lagi tahun hadapan?

Dalam siri kes kali ini, Kerajaan negeri Selangor mengarahkan supaya pemilik premis yang menjadi punca pencemaran air merobohkan struktur bangunan di tanah tersebut. Tanah persendirian yang dibangunkan sebagai premis penyelenggaraan jentera berat itu didapati tidak mempunyai kebenaran merancang (KM) daripada Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Entah berapa lama operasi ‘tanpa kebenaran merancang’ daripada MPS itu berlangsung. Mujurlah ada pencemaran, jika tidak struktur tidak sah itu akan terus tegak di situ. Di mana penguatkuasaan? Sekadar menunggu laporan dan aduan? Atau menunggu sehingga air sungai tercemar?

Benar penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi tanpa kesedaran masyarakat. Pasukan penguatkuasaan juga perlu mempunyai kesedaran untuk memastikan industri berdekatan sungai berlesen, mematuhi peraturan dan undang-undang bagi mengelakkan pencemaran.

Kerahkanlah ratusan ribu penguatkuasaan (pinjam ayat MB) untuk memastikan tiada sebarang aktiviti yang boleh mencemarkan punca air bersih. Jika penguatkuasaan boleh dikerah meroboh pelbagai struktur termasuk gerai penjaja kecil yang mencari rezeki ‘dua tiga ringgit’ sehari, kenapa tidak struktur yang mengancam keselamatan alam dan awam?

Kita menyambut baik kenyataan Amirudin bahawa Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan dipinda pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan datang dengan meningkatkan nilai denda kepada RM1 juta. Tetapi cukupkah RM1 juta? Insafkah mereka yang ‘menodai, mencabul dan memperkosa’ alam ini?

Enakmen LUAS sebelum ini memperuntukkan bagi (denda) pencemaran adalah sekitar RM500,000.

Hakikatnya, akaun yang terlibat hampir dua juta dan jumlah pengguna lima juta. Apa kata setiap satu akaun, pesalah membayar denda RM1 dicampur jumlah hari terjejas. Atau denda RM1 bagi setiap pengguna terjejas. Jika lima juta pengguna, dendanya RM5 juta, atau mana yang lebih tinggi. Wang itu kembalikan kepada pengguna yang terjejas.

Jika denda tidak memadai, sumbat mereka yang bertanggungjawab ke dalam penjara.

Mungkin langkah jangka panjang yang terbaik adalah memastikan tiada lagi sebarang aktiviti industri di kawasan sungai yang menjadi punca air bersih. Jika terpaksa juga, pastikan langkah-langkah pencegahan yang lebih ketat. Pihak berkuasa tempatan perlu ‘membersihkan’ kawasan berhampiran punca air ini.

Jika tidak sampai bila pun episod seperti ini tidak akan berakhir.

Related posts

Leave a Comment