PUTRAJAYA 5 Mac – Jumlah kes jangkitan harian Covid-19 semalam menunjukkan penurunan dengan merekodkan 170 termasuk dua kes import berbanding 204 kes kelmarin.
Menurut data portal KKMNow, jumlah keseluruhan meningkat kepada 5,043,626 yang meliputi 5,004,933 kes tempatan dan 38,693 kes import.
Tiada kematian baharu direkodkan semalam menjadikan jumlah yang meninggal dunia setakat ini kekal 36,965 orang termasuk 7,876 kes di luar fasiliti hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID).
Sementara itu, jumlah kes aktif turun sedikit kepada 9,239 berbanding 9,247 kelmarin, dan daripada jumlah itu, sebanyak 8,934 kes atau 96.7 peratus pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah.
Tiada pesakit di pusat kuarantin (PKRC), manakala 301 pesakit atau 3.3 peratus mendapat rawatan di hospital, empat daripada pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), di mana satu kes masih memerlukan alat bantuan pernafasan.
Dalam tempoh yang sama, 178 lagi pesakit dilaporkan sembuh semalam dan ini menjadikan jumlah pesakit yang pulih meningkat kepada 4,997,422 orang.
Bagi kes harian negeri, Selangor merekodkan 61 kes berbanding 59 sebelumnya manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan 36 kes berbanding 61 kelmarin.
