SEPANG 7 Mei – Semua pihak wajar menghormati serta memahami kedudukan dan peranan Sultan Selangor menurut lunas Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, tanpa cuba mempolitikkan atau menimbulkan persepsi negatif terhadap titah serta pandangan Baginda.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor Megat Zulkarnain Omardin berkata, institusi Raja bukan sekadar simbol, tetapi sebahagian penting dalam sistem semak dan imbang bagi memastikan pentadbiran negeri berjalan dengan penuh tanggungjawab, berintegriti dan berpaksikan kepentingan rakyat.
Justeru UMNO Selangor menyokong penuh, menjunjung kasih serta menyambut baik kenyataan rasmi Ahli-Ahli Dewan Diraja Selangor semalam, 6 Mei 2026 berhubung peranan dan tanggungjawab Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Raja Berperlembagaan.
“Kenyataan tersebut amat penting dalam memperjelaskan kepada rakyat bahawa setiap titah, nasihat, teguran dan peringatan Sultan Selangor adalah selari dengan semangat Raja Berperlembagaan serta peranan sebagai Ketua Negeri yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan kestabilan negeri,” katanya.
Dalam satu kenyataan hari ini, Megat Zulkarnain menegaskan UMNO Selangor kekal konsisten dalam menjunjung dan mempertahankan institusi Kesultanan Negeri Selangor daripada sebarang bentuk penghinaan, fitnah, provokasi mahupun cubaan memperlekehkan martabat Sultan Selangor.
Katanya, UMNO Selangor sebelum ini konsisten tampil mempertahankan titah baginda berkaitan isu penternakan babi di Selangor yang cuba diputarbelitkan oleh pihak tertentu, selain mengecam tindakan biadab menyunting dan menghina imej Sultan Selangor yang jelas melampaui batas adab, budaya serta prinsip menghormati institusi Raja.
“Bagi UMNO Selangor, institusi Raja Melayu adalah payung negeri, lambang perpaduan rakyat serta benteng kestabilan yang wajib dipelihara dan dihormati oleh semua pihak tanpa mengira latar politik,” katanya.
UMNO Selangor juga menyeru semua pihak agar lebih matang, berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan berkaitan institusi Kesultanan serta tidak menjadikan perkara melibatkan Sultan Selangor sebagai bahan polemik politik sempit.
“Tumpuan utama semua pihak seharusnya adalah kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat, memperkukuh kestabilan negeri serta memastikan pentadbiran berjalan dengan berkesan selaras dengan semangat Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini,” katanya.
Nnnn
