IMBAS KEMBALI : Mengingati Kelahiran Mingguan Malaysia

 

IMBAS KEMBALI TULISAN 30 OGOS 2019 KETIKA UTUSAN TENAT

Meraikan Kelahiran Di Saat Ketenatan

Selamat hari ulang tahun kelahiran untuk Mingguan Malaysia. Syukurlah akhbar yang dilahirkan pada 30 Ogos 1964 masih bertahan sehingga sekarang dengan edaran tertinggi. Tahniah juga kepada Kosmo! yang menyambut ulang tahunnya yang ke-15. Kosmo berada di pasaran pada 31 Ogos 2014 sehari selepas pelancaran akhbar kompak itu. Pada 1 September pula, ulang tahun kelahiran Utusan Malaysia yang mula diterbitkan pada 1 September 1967.

Begitulah cerita kelahiran akhbar milik Kumpulan Utusan iaitu Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan Kosmo!. Ulang tahun kelahiran ini muncul setelah khalayak dikejutkan dengan berita Kumpulan Utusan dalam keadaan tenat malahan menanti saat ‘kematian’ akhbar-akhbar berkenaan.

Dalam suasana menyambut ulang tahun kelahiran ini, pada hari ini juga, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad dinyah senarai dari Bursa Malaysia. Harga saham Utusan merudum sehingga RM0.05. Selepas 25 tahun disenaraikan pada tahun 1994, akhirnya penyahsenaraian dibuat disebabkan Utusan gagal memenuhi syarat keperluan kewangan. Semoga tindakan itu bukan suatu pengakhiran tetapi detik untuk kebangkitan semula.

Kemelut yang melanda Utusan amat parah yang bukan sahaja meresahkan kakitangan yang sedang bertugas tetapi juga penerima tawaran pemberhentian kerja melalui Skim Pemisahan Sukarela (VSS). Perkhabaran baru-baru ini amat membimbangkan tetapi syukurlah sehingga hari ini, Utusan Malaysia dan Kosmo! masih menemui pembaca walaupun terpaksa menaikkan harga. Begitu juga dengan Mingguan Malaysia dan Kosmo Ahad! yang masih kekal di pasaran.

Pada masa yang sama kesulitan yang dialami pekerja mendapat simpati banyak pihak yang tampil menghulurkan pelbagai bantuan termasuk keperluan harian. Cuma nasib kira-kira 700 pekerja VSS yang tidak terbela, terhoyong-hayang bagai berada di atas kapal yang dipukul badai. Semakin hari mereka dihimpit hutang dan dihujani panggilan telefon pihak institusi kewangan. Perancangan mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup ‘rosak’’ disebabkan masalah ini yang memungkinkan mereka menambah hutang serta pelbagai risiko lain. Dalam kesabaran menanti, ada kalanya mereka tidak dapat menyembunyikan rasa marah dan kecewa.

Persoalan sekarang, selama mana akhbar-akhbar keluaran Utusan ini akan terus hidup dalam kemelut kewangan serta cabaran dalam industri media cetak ? Sebagai mantan wargakerja Utusan yang bermula sebagai pemberita, memang sukar untuk menerima keputusan meninggalkan Utusan tetapi demi kelangsungan syarikat, VSS jadi pilihan.

Namun apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan. Mungkin tidak terlalu tepat untuk dikatakan Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.Mereka yang pernah bersama Utusan tidak rela melihat pengakhiran akhbar yang menjadi suara keramat bangsa itu.

Bagi saya dan kebanyakan rakan, Utusan adalah sebuah universiti. Di sini kami membina kerjaya. Saya sendiri dapat bersama Utusan dengan pelbagai tanggungjawab yang diberi sama ada di akhbar atau majalah. Pernah bekerja di bawah empat Ketua Pengarang iaitu Allahyarham Tan Sri Zainuddin Maidin, Tan Sri Johan Jaaffar, Datuk Khalid Mohd dan Datuk Aziz Ishak.

Selama lima tahun bersama Mingguan Malaysia. Pengalaman bekerja di bawah pengarang-pengarang Mingguan Malaysia termasuk Allahyarham Ahmad Idris (ABI), Maimunah Yusuf dan ayahanda Abdullah Hassan (Cik Lah).Pengalaman bersama MM amat menarik. Walaupun sekali seminggu tetapi persediaan adunannya bukanlah sesuatu yang boleh dipandang mudah. Masih teringat bagaimana ‘sulitnya’ untuk mengisi slot Wawancara. Bukan sebarangan orang atau isu yang boleh dijadikan bahan. Pernah pada hari Sabtu, baru mendapat individu yang hendak diwawancara.

Saya masih ingat bagaimana Cik Lah akan belanja kami nasi lemak setiap kali isu Wawancara dapat diselesaikan setelah ketua pengarang memberi ‘ lampu hijau’ mengenai personaliti dan isu yang akan dibincangkan.

Krisis di Iraq dan tsunami di Acheh turut membantu melonjakkan edaran Mingguan Malaysia. Ketika itu jika tidak silap, pernah mencecah cetakan 600,000 naskhah.

Syukurlah ketika menjadi pengarang MM, saya mempunyai team yang baik untuk mengendalikan akhbar berkenaan yang di dalamnya ada komponen Pancaindera dan Kesihatan. Dibantu oleh Ku Seman bersama tenaga wartawan seperti Nor Azam Shairi, Ramli Karim, Najibah Hassan, Tajaiyah Ihsan, Along Tengku Khalidah, Siti Shafinaz, Siti Mariam, Jamliah Abdullah, Niezam Abdullah dan ramai lagi.

Kini Mingguan Malaysia sudah berubah wajah. Sempena Hari Malaysia 2018, pada bulan Muharram 1440, wajah besar atau broadsheet bertukar menjadi tabloid. Semoga genap setahun perubahan wajah itu, Mingguan Malaysia mampu kembali menarik perhatian pembaca.

Cuma Mingguan Malaysia masih menanti kemunculan semula Awang Selamat. Sudah lama Bisik Bisik Mingguan tidak muncul menemui pembacanya. Diharapkan semangat untuk terus mempertahankan Utusan tidak padam. Teruskan perjuangan tetapi dengan perubahan, perancangan serta strategi yang lebih berkesan yang mampu menjana pendapatan bagi membendung kehilangan pendapatan untuk jangka masa panjang.

Pegang dan genggamlah obor perjuangan Utusan dengan erat. Semoga Allah Selamatkan Utusan !

@ Terima kasih RTM yang memilih penerbitan Mingguan Malaysia dalam segmen Hari Ini Dalam Sejarah.

Related posts

Leave a Comment