Kluster Telaga dan MV Glen

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengesan dua kluster baharu wabak Covid-19  iaitu Kluster MV Glen di Pelabuhan Klang, Selangor dan Kluster Telaga di Kedah.

Kluster Telaga dikenal pasti di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, melibatkan dua kes positif dengan kes indeks ialah kes ke-9,284 dilaporkan Isnin (24 Ogos) lalu manakala kes kedua adalah kontak rapat kepada kes indeks.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk diberi rawatan.

Kedua-dua kes ini merupakan petugas kesihatan di hospital tersebut namun tugasan tidak melibatkan jagaan kes yang disahkan positif Covid-19.

Sehingga 30 Ogos, 12 tengah hari, sejumlah 374 orang telah disaring dalam kluster ini melibatkan ahli keluarga, kakitangan hospital dan lain-lain.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, daripada jumlah itu, 372 diuji negatif.

Punca jangkitan masih dalam siasatan namun disyaki berpunca dalam kalangan komuniti dan sebagai langkah kawalan, lebih banyak saringan tertumpu di hospital akan dijalankan. 

Dr Noor Hisham berkata perkhidmatan Hospital Sultanah Bahiyah tidak terjejas dan tetap berjalan seperti biasa, dengan langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti pembersihan dan proses nyah kuman juga telah dijalankan di premis yang berkaitan.

Mengenai Kluster MV Glen, beliau berkata kluster itu dikenal pasti di sebuah kapal di Pelabuhan Klang melibatkan dua kes positif dengan kes indeks adalah kes ke-9,286 yang dilaporkan pada Selasa lalu (25 Ogos) yang merupakan seorang kru kapal. 

Katanya lagi, kes indeks kluster itu merupakan kes import yang melibatkan bukan warga tempatan manakala kes kedua merupakan rakyat Malaysia juga juga ejen yang dilantik oleh syarikat perkapalan.

“Kes positif telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan diberi rawatan. Saringan Covid-19 dijalankan dan hingga 30 Ogos (hari ini), sejumlah lapan orang telah disaring dalam kluster ini,” katanya.

Beliau juga berkata aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kotak rapat masih dijalankan sementara langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar telah dijalankan di kapal tersebut.

Punca jangkitan masih dalam siasatan.

Related posts

Leave a Comment