Indonesia catat 83,130 kes

SINGAPURA mencatatkan 327 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas, dengan sembilan kes merupakan jangkitan dalam komuniti, menjadikan angka keseluruhannya 47,453.

Data ringkas Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan enam daripada sembilan kes jangkitan komuniti melibatkan warga Singapura atau pemastautin tetap manakala tiga lagi merupakan pemegang pas kerja.

Tiga kes import membabitkan mereka yang dikenakan notis duduk di rumah sebaik tiba di Singapura dan sehingga semalam, 16 Julai, 101,300 notis dikeluarkan.

Secara keseluruhan, 43,256 pulih dan 146 kes masih di hospital, kebanyakannya stabil atau bertambah baik, dan tiada yang dirawat di unit rawatan rapi.

Sebanyak 3,697 pesakit yang mempunyai gejala ringan atau sihat secara klinikal tetapi masih diuji positif Covid-19 diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

INDONESIA terus mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 apabila 1,462 lagi kes direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan kes kini di Indonesia kini 83,130 kes.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto berkata  bagi tempoh 24 jam, sebanyak 84 lagi kematian direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan kematian kini 3,957 orang.

Sebanyak 46,493 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19.

Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 1,338 kes, diikuti Jakarta (719 kes), Jawa Tengah (285), Sulawesi Selatan (236) dan selebihnya di wilayah lain.

THAILAND melaporkan tiga kes baharu Covid-19, semuanya melibatkan mereka yang dikuarantin selepas tiba di Bangkok dari Sudan.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), mereka yang dijangkiti adalah tiga wanita berusia 22,23 dan 28 tahun yang tiba pada 10 Julai lalu.

Mereka termasuk dua pelajar dikuarantin di Chan Buri dan disahkan positif pada Selasa manakala seorang lagi pada Rabu.

Pesawat yang sama membawa 245 orang dan 12 daripada mereka disahkan dijangkiti.  Setakat ini, 450 orang rakyat Thailand pulang dari Sudan  dan 21 daripada mereka disahkan positif Covid-19.

Setakat ini, Thailand merekodkan 3,239 kes Covid-19 di mana 3,096 dilaporkan pulih termasuk seorang pada Khamis. Sebanyak 85 lagi pesakit masih dirawat dan jumlah kematian kekal 58..

FILIPINA setakat pukul 4 petang hari ini, 17 Julai 2020, merekodkan 1,841 kes yang disahkan oleh 76 daripada 84 makmal operasi semasa.

Jabatan Kesihatan (DOH) melaporkan, dengan perkembangan itu,  jumlah kes Covid-19 di negara itu kini meningkat kepada 63,001.

Sebanyak 17 kematian dilaporkan menjadikan jumlah kematian 1,660.

DOH juga mengumumkan 311 kes pemulihan yang membawa jumlah keseluruhan sembuh sebanyak 21,748.

Related posts

Leave a Comment