Kembali kepada dua digit

KEMBALI kepada dua digit. Hari ini, 17 Julai, kes positif Covid-19 merekodkan 18 kes baharu menjadikan jumlah kes positif di negara ini sebanyak 8,755 kes.

Sepuluh adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan tujuh warganegara dan tiga bukan warganegara yang masuk ke Malaysia atas urusan kerja.

Ketua Pengarah Kesihatan,  Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 ialah 92 kes.

Daripada lapan kes penularan dalam negara, enam kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia dan dua kes adalah bukan warganegara.

Beliau berkata, tiga kes telah pulih dan dibenarkan discaj pada Jumaat.

Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 8,541 kes (97.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Tiada sebarang kematian berkaitan Covid-19 direkodkan hari ini dan ini bermakna

jumlah kumulatif kes kematian kekal sebanyak 122 kes (1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Sehingga kini, terdapat tiga kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, empat kluster baharu dikenal pasti hari ini melibatkan individu dalam siasatan (PUI) Pitakwa, PUI Shirala, Pusat Perubatan Kuching dan Jupiter.

Menurut Dr Noor Hisham pecahan kes indeks bagi keempat-empat kluster tersebut melibatkan dua warga tempatan dan dua bukan warganegara.

Katanya kes indeks kluster PUI Pitakwa merupakan seorang warga Malaysia (iaitu kes ke-8737) yang pulang ke tanah air dari Nigeria pada 11 Julai lepas dan saringan di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) didapati negatif.

Namun tiga hari kemudian beliau perlu menjalani ujian ulangan Covid-19 kerana didapati mengalami gejala teruk dan dikesan positif serta dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu.

“Susulan itu, 44 kontak rapat telah dikenal pasti dan disaring terutama dalam kalangan ahli keluarga, penumpang dan kru kapal terbang, pemandu teksi serta rakan sekerja. Daripada jumlah tersebut dua dikesan positif (iaitu kes ke-8754 dan 8755), tiga negatif manakala selebihnya masih menunggu keputusan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment