BAGAIMANA agaknya suasana Dewan Rakyat hari ini? Diharapkan ia berjalan lancar. Anggaplah suasana bagaikan pasar atau zoo petang semalam hanyalah sebagai permulaan akibat rasa tidak puas hati pihak pembangkang terhadap pelantikan Azhar Azizan Harun sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu.
Walaupun tidak bersetuju tetapi dalam kekecohan itu timbul ayat atau perkataan yang tidak menghormati Speaker. Dalam erti kata lain tidak sesuai digunakan walaupun wakil rakyat mempunyai imuniti. Hakikatnya perbuatan mereka diperhati dan perkataan mereka didengari.
Sebagai wakil rakyat sama ada yang baharu atau lama, yang menyokong atau membangkang, kekebalan bukan lesen untuk brrbuat atau bercakap apa sahaja di dalam Dewan.
Setiap kali Dewan Rakyat bersidang, Speaker memberi nasihat supaya berbahas secara beradab, sopan, menggunakan bahasa yang baik tetapi keadaan tidak pernah berubah. Di mana silapnya?
Tidak pasti dalam kekecohan semalam, berapa ramai yang mendengar ucapan dan nasihat Azhar.
Kata Azhar, Parlimen perlu menjadi perhimpunan bagi membincangkan hal-hal melibatkan kepentingan negara dan bukannya satu kongres dipenuhi wakil rakyat dengan kepentingan sendiri dan saling bermusuhan.
Dalam ucapan sulungnya, beliau berkata majlis penggubalan undang-undang tertinggi negara itu sepatutnya membincangkan kepentingan menyeluruh untuk kepentingan bersama, yakni kepentingan negara.
Baginya, Parlimen Ke-14 ini adalah satu era baharu, dan walaupun rata-rata berpendapat bahawa majoriti tipis di pihak kerajaan membawa ketidakstabilan, padanya ia merupakan pemangkin untuk analisis dan perdebatan yang lebih bermakna dan dinamis.
“Namun, matlamat tersebut tidak akan dapat dicapai sekiranya Ahli-Ahli Yang Berhormat tidak meninggalkan politik dan prinsip kepartian di dalam menjalankan tugas di Parlimen,” katanya.
Di luar Dewan, dalam sidang media pertamanya, Azhar berkata, beliau tidak gentar dalam melunaskan amanah baharunya itu walaupun diasak pelbagai kecamanan pada hari pertamanya. Baginya ia satu pengalaman baharu.
“Itu bukan zoo, itu Dewan Rakyat kita. Ini pengalaman yang baik dan kita belajar daripada pengalaman itu,” katanya ketika diminta mengulas berkenaan tugasan hari pertama beliau yang dimulakan dengan tingkah laku kurang sopan oleh beberapa Ahli Parlimen.
Beliau menyeru kepada semua Ahli Parlimen mengamalkan penggunaan bahasa yang sopan santun di dalam dewan.
“Sejauh mana boleh mengawal Dewan Rakyat? Kita akan cuba sedaya-upaya. Itu tugas semua Ahli Parlimen termasuk Speaker dan Timbalan Speaker.
“Jika mereka (Ahli Parlimen) mahu rakyat melihat perangai mereka sebegitu, rakyat mengadili mereka. Namun kita semua menentang penghinaan jantina,” katanya.
Azhar berdepan cabaran luar biasa pada hari pertamanya apabila berlaku pertelingkahan melibatkan beberapa Ahli Parlimen susulan penggunaan bahasa kurang sopan.