Pas sedia tanding 16 kerusi DUN Melaka

MELAKA 29 April – Berbekalkan satu kerusi yang asalnya milik UMNO di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Pas mengumumkan sasaran untuk bertanding di 16 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Kerusi berkenaan ialah Pantai Kundor, Paya Rumput, Klebang, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Linggi, Taboh Naning, Rembia, Durian Tunggal, Ayer Molek, Pengkalan Batu, Telok Mas, Duyong, Sungai Rambai, Merlimau dan Serkam.

Pesuruhjaya Pas Melaka, Zulkifli Ismail, berkata, parti itu membuat ketetapan bertanding di semua kerusi berkenaan dengan menampilkan calon berwibawa, berintegriti dan mempunyai latar belakang kepimpinan diyakini.

Ahli Parlimen Jasin itu berkata ketetapan ini selaras dengan kenyataan disampaikan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada program Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pas Melaka yang lalu.

“Pas Melaka dengan penuh tawakkal dan keyakinan menyeru seluruh rakyat Negeri Melaka memberikan sokongan kepada calon-calon Pas dan Perikatan Nasional (PN) dalam PRN ini,” katanya dalam kenyataan pada laman sosial Facebook Pas Melaka.

Beliau berkata, sokongan tersebut amat penting dalam usaha membentuk sebuah kerajaan negeri yang lebih adil, berintegriti serta berpaksikan nilai-nilai Islam sebagai panduan pentadbiran.

“Sesungguhnya perjuangan ini bukan sekadar persaingan politik, bahkan merupakan satu amanah untuk menegakkan kebenaran, keadilan dan kebajikan kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Penggal kelima DUN Melaka dijadual tamat Disember ini, sekali gus bakal membuka laluan kepada PRN pada tahun ini.

Pada PRN Melaka 2021, Pas anggota gabungan PN tidak memenangi sebarang kerusi DUN, sebaliknya rakan gabungan iaitu Bersatu memperoleh dua kerusi iaitu di Sungai Udang dan Bemban.

Pas memperoleh satu kerusi DUN apabila ADUN Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis yang sebelum ini digantung keahlian dalam UMNO menyertai Pas pada Julai 2024.

Muhamad Jailani menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) atas tiket PKR dan beliau antara empat ADUN Pakatan Harapan (PH) yang melompat menyokong Barisan Nasional (BN) bagi mengambil alih pentadbiran negeri pada Mac 2020.

Related posts

Leave a Comment