Gelap : Azeez minta maaf

KUALA LUMPUR : Memulakan hari kedua Persidangan Dewan Rakyat hari ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu Azhar Azizan Harun mengarahkan Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim memohon maaf susulan kenyataan beliau mengenai isu  ‘gelap’ dan ‘bedak’ semalam, 13 Julai.

Abdul Azeez mengungkapkan ayat ‘gelap tak nampak’ ketika Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) bangun mencelah mempersoalkan mengenai ketiadaan wanita sebagai Ahli Jawatankuasa Pemilih yang dicadangkan dalam usul berkenaan. 

“Saya telah meneliti hansard tersebut dan mengambil keputusan bahawa perkataan tersebut adalah offensive (bersifat menghina) dan saya ingin meminta Yang Berhormat Baling memohon maaf dan menarik balik perkataan tersebut,” katanya.

Abdul Azeez kemudiannya bangun dan membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataan itu namun menjelaskan bahawa beliau sama sekali tidak berniat memanggil sesiapa ‘gelap’.

“Dua tahun saya duduk di situ, sememangnya kawasan itu gelap dan kami selalu tidak dapat perhatian speaker.

“Saya kata “gelap tak nampak” maksud saya kawasan itu gelap. Bagi saya penting rakyat tahu bahawa saya tidak sama sekali berniat memanggil sesiapa gelap kerana diri saya sendiri Allah SWT takdirkan gelap jadi tak ada sebab saya nak cakap begitu,” katanya. 

Related posts

Leave a Comment