SEPANG 29 April – Ketua Pemuda Amanah Perlis, Dr Ahmad Fadhzil Mohamad mengumumkan keputusan meninggalkan parti itu, sekali gus melepaskan semua jawatan yang disandangnya.
Katanya, keputusan itu dibuat setelah melalui proses pertimbangan yang panjang, teliti dan mendalam, khususnya terhadap peranannya sebagai pemimpin muda serta hala tuju perjuangan yang ingin dibawa.
“Sepanjang tempoh bersama Amanah, saya berusaha sedaya upaya untuk menyumbang kepada pembangunan parti, memperkukuh suara anak muda serta mendekati masyarakat melalui pelbagai inisiatif khususnya dalam bidang kesihatan dan kebajikan rakyat.
“Namun, saya melihat terdapat jurang yang semakin ketara antara prinsip perjuangan yang saya pegang dengan pendekatan serta keutamaan semasa dalam landskap politik yang sedang dilalui,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain mengetuai Pemuda Perlis, , Dr Ahmad Fadhzil juga sebagai Ketua Pemuda Amanah Kawasan Kangar dan Ketua Biro Kesihatan Pemuda Nasional Amanah serta Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) negeri.
Dr Ahmad Fadhzil berkata keputusan itu juga bagi memberi ruang kepada kepimpinan lain meneruskan agenda mereka di samping membolehkannya menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha-usaha yang lebih dekat dengan masyarakat dan selari dengan prinsip perjuangannya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pimpinan, rakan seperjuangan serta anggota parti di semua peringkat atas kepercayaan, sokongan dan kerjasama yang telah diberikan.
“Saya ingin memohon ampun dan maaf atas segala kekhilafan dan kekurangan sepanjang memegang amanah yang diberikan dan saya mendoakan agar Parti Amanah Negara terus maju, berjaya dalam memperjuangkan aspirasi rakyat serta mencapai matlamat yang dihasratkan,” katanya.
Nnn
