SEREMBAN 29 April – Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, beliau sentiasa terbuka dengan sebarang keputusan yang ditetapkan pucuk pimpinan parti bagi memastikan polemik politik yang berlaku dapat ditangani sebaiknya.
Beliau juga akur dengan sebarang keputusan yang diputuskan pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) berhubung kedudukannya sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
“Saya serah kepada pucuk pimpinan parti, saya ada presiden saya, pengerusi PH, perbincangan apa sahaja (kedudukan sebagai Menteri Besar), saya akur, tak ada masalah. Negeri sembilan sentiasa terbuka, kita akur dengan keputusan pimpinan kita.
“DAP pun sama, Amanah pun sama dan sebab itu kalau nak buat sidang media pun, kita maklum kepada pucuk pimpinan, barulah kita buat sidang media kita tempoh hari, kita tak dahului pimpinan kita,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Exco negeri, di sini hari ini.
Sebelum ini, semua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Negeri Sembilan sebulat suara menarik sokongan serta hilang kepercayaan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin yang juga ADUN PKR Sikamat.
Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias, dilaporkan berkata tindakan itu dibuat susulan ketidakpuasan hati terhadap isu berkaitan institusi adat dan perlembagaan negeri yang didakwa memberi kesan kepada pentadbiran kerajaan negeri serta kestabilan politik di peringkat negeri.
Dalam pada itu, Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR itu berkata, tiada sebarang rundingan dengan mana-mana ADUN Barisan Nasional (BN) atau pembangkang berhubung kemelut politik yang berlaku di Negeri Sembilan.
Katanya, setakat ini kerajaan minoriti pimpinannya berjalan seperti biasa bagi memastikan keperluan rakyat didahulukan.
“Setakat ini, saya tak ada bincang dengan 14 ADUN (BN yang menarik sokongan), malah ketika hari kejadian saya ada cuba hubungi beberapa ADUN untuk mengesahkan, tapi semua tutup telefon.
“Terbaru belum ada lagi sebab mereka dah tarik sokongan. Tak nak berkawan dengan saya, kata dah ceraikan saya dan saya belum ada maklumat lagi (berhubung) dakwaan ada ADUN UMNO nak rujuk,” katanya.
Beliau mengulas mengenai dakwaan ada beberapa ADUN UMNO dikatakan membuat pusingan U bagi menyatakan sokongan kepadanya.
Nnnn
