Tiada kemampuan dan keamanan halangan ibadah haji

SEDIH dan pedih. Tetapi itulah pilihan terbaik – menangguhkan ibadah haji tahun ini atas keselamatan dan kemaslahatan ummah. Anggaplah itu kehendak Allah SWT, bukan kehendak kita. Walaupun mempunyai kemampuan kewangan tetapi tidak mampu memenuhi syarat-syarat lain.

Penangguhan ini bukanlah sesuatu yang di luar jangkaan kerana wabak Covid-19 masih mengancam nyawa manusia di seluruh dunia. Di Arab Saudi wabak ini masih menular termasuk di dua kota suci Makkah dan Madinah. Sehingga semalam, Arab Saudi merekodkan 116,021 kes dengan 857 kematian.

Malaysia tidak bersendirian membuat keputusan yang amat berat ini kerana jiran lain lebih awal mengumumkan pendirian iaitu Singapura (900 jemaah), Indonesia (221,000) dan Brunei Darussalam (1,000). Begitu juga Thailand dan Kemboja.

Sebelum ini, Kementerian Haji Arab Saudi pernah mengingatkan para pengurus jemaah haji agar tidak memeterai sebarang perjanjian untuk urusan haji tahun ini memandangkan ketidaktentuan perkembangan Covid-19. Sehingga kini belum ada kepastian sama ada ibadah haji terbuka atau terhad.

Ketika masa semakin suntuk untuk membuat persiapan yang masih tertangguh, andai terdapat kemungkinan kerajaan Arab Saudi membenarkan ibadah haji dilaksanakan pada saat-saat akhir dengan langkah-langkah pencegahan tertentu, jemaah dari luar termasuk Makaysia akan berhadapan dengan pelbagai kesukaran.

Harus diingat, pelaksanaan  ibadah haji bergantung kepada beberapa syarat utama kewajipan haji terutama Istito’ah (kemampuan) dan keamanan perjalanan.

Dalam hubungan ini, kemampuan jemaah juga bergantung kepada persiapan seperti urusan visa, pemeriksaan kesihatan khususnya berkaitan Covid-19, penerbangan, penginapan di Makkah, Arafah, Mina dan Madinah, pengangkutan, perkhidmatan kesihatan dan pelbagai lagi yang memerlukan masa secukupnya.

Mengenai kemampuan, antara dasar utama kewajipan ibadah haji, Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran ayat 97 bermaksud: “Dan Allah mewajibkan ke atas manusia untuk mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu bagi sesiapa yang mampu untuk sampai kepadanya.”

Istito’ah terbahagi kepada beberapa jenis, antaranya kemampuan tubuh badan dari segi kesihatan jasmani, dan kemampuan dari segi harta untuk menanggung segala kos yang diperlukan. Kemampuan kewangan bukan satu isu besar bagi jemaah yang terpilih. Isunya persediaan atau persiapan seperti disebut di atas.

Mampukah dalam masa yang singkat, kerajaan khususnya Tabung Haji dan agensi pelancongan yang berkaitan melakukan persiapan? Allah SWT tidak mahu hambaNya menghadapi kesukaran dalam menjalankan kewajipan agama. FirmanNya dalam surah al-Hajj, ayat 78: “Dan tidak Dia menjadikan ke atas kamu kesusahan dalam agama”

Syarat keamanan pula adalah jaminan keselamatan jemaah. Dalam hal ini, beberapa perkara perlu dilihat terutama majoriti usia jemaah yang mungkin kebanyakannya warga emas, atau berumur 50 tahun ke atas yang mungkin berisiko tinggi mengalami penyakit yang lebih kritikal jika dijangkiti virus Covid-19.

Hakikatnya, kesesakan sewaktu musim haji sudah tidak dapat dielakkan dengan jutaan jemaah dari pelosok dunia yang memungkinkan jangkitan sedangkan situasi dunia masih tidak membenarkan penganjuran aktiviti berskala besar bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

Dalam hal ini bersediakah tuan rumah dan pasukan perubatan Malaysia yang masih bergelut dengan wabak ini menghadapi situasi ini jika  jemaah haji dijangkiti?

Justeru, berdasarkan masalah di atas adakah kita mempunyai kemampuan dan wujud suasana aman untuk memastikan jemaah dapat melaksanakan ibadah dengan hati yang tenang, selamat dan sempurna tanpa dibelenggu kebimbangan bagi memperoleh haji mabrur?

Ketika berlaku pertembungan antara keperluan mencegah kemudaratan dengan kemaslahatan untuk melaksanakan ibadah, Islam memerintahkan umatnya mengutamakan pencegahan mafsadah (keburukan).

Kerajaan tidak boleh mendedahkan rakyatnya termasuk jemaah haji kepada bahaya dan keburukan yang akhirnya bukan sahaja memberi kesan terhadap emosi, fizikal dan kewangan tetapi paling membimbangkan kesan jangkitan. Menjaga nyawa itu penting, tidak ada kompromi.

Ibadah haji, Rukun Islam kelima itu boleh dilakukan pada yang mampu dari segi kewangan, kesihatan, keselamatan dan kesempatan. Dan dalam suasana wabak ini, di antara ‘meraih manfaat dan mengelak mudarat’, prinsip ‘mengelak mudarat dan kebinasaan’ lebih diutamakan,

Ini selaras dengan perintah Allah SWT: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu dalam bahaya kebinasaan.” (Al-Baqarah: 195)

Menyelak kembali sejarah berkaitan kesihatan ini, wabak taun yang melanda tanah suci pada 1814 mengorbankan 8,000 jemaah. Begitu juga pada 1831, tiga perempat jemaah haji terkorban akibat wabak yang dipercayai datang daripada India. Makkah juga pernah ditutup untuk ibadah haji disebabkan wabak penyakit.

Kepada bakal jemaah haji yang terpilih, bersabarlah dan redhalah. Semoga niat baik yang tidak kesampaian itu akan turut mendapat ganjaran pahala.

Related posts

Leave a Comment