Buat persiapan awal depani cabaran

SHAH ALAM 20 April – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan  Kerajaan Negeri membuat persiapan awal bagi mendepani cabaran ketidaktentuan ekonomi global yang bakal dihadapi akibat peperangan di Asia Barat.

Titah baginda, krisis berkenaan memberi kesan langsung kepada Malaysia sehingga mengakibatkan kenaikan harga minyak dan barangan keperluan, sekali gus mengakibatkan peningkatan kos sara hidup rakyat.

Justeru, Sultan Sharafuddin menitahkan kerajaan negeri memberi keutamaan sepenuhnya kepada perbelanjaan keperluan asas yang penting, sekali gus membantu rakyat meringankan beban yang mereka hadapi.

“Segala bentuk pembaziran hendaklah dielakkan dan setiap sen yang dibelanjakan mestilah memberi faedah sepenuhnya kepada rakyat terutama yang teruk terjejas dan memerlukan bantuan.

Kerajaan betq perlu ingat, kebajikan rakyat hendaklah sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap perancangan dan pelaksanaan dasar negeri,” titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 di sini hari ini.

Titah baginda, melihat kepada kegawatan ekonomi dunia sekarang sehingga tempiasnya dirasai oleh negara, maka sambutan Jubli Perak dilaksanakan secara sederhana dan tidak berlebihan dengan mengurangkan beberapa program.

Baginda memutuskan agar majlis santapan malam diraja (banquet dinner) di Istana Alam Shah, Klang tidak perlu diadakan begitu jugq dengan pembatalan pertunjukan bunga api dan penganjuran konsert diraja atau konsert rakyat.

Sebaliknya, baginda berkenan diadakan dua atau tiga kali jamuan teh untuk rakyat di Padang Mahkota di Istana Alam Shah, Klang dengan menjemput kira-kira 8,000 rakyat.

Selain itu baginda juga menitahkan agar mana-mana pihak yang berhasrat menyumbang atau menaja apa-apa program sambutan Jubli Perak menyalurkan sumbangan tersebut kepada Yayasan Sultan Selangor atau badan-badan kebajikan lain.

Baginda juga berpandangan bahawa adalah lebih wajar penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai dan sehingga Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.

“Beta juga menitahkan, penganjuran Piala Sultan Selangor bagi perlawanan bola sepak tahunan antara Selangor dan Singapura bagi 2026 dibatalkan,” titah baginda.

Baginda juga berkenan agar satu kejohanan bola sepak Piala Jubli Perak dianjurkan melibatkan pelajar-pelajar sekolah bawah umur 15 tahun antara daerah di seluruh Negeri Selangor sebagai usaha memupuk bakat muda.

Dalam pada itu, baginda menasihatkan agar pihak pembangkang terus memainkan peranan untuk memantau setiap dasar dan pelaksanaan dasar Kerajaan negeri agar setiap tindakan  dilaksanakan dengan telus, berintegriti, efisyen dan berhemah.

“Sejak akhir-akhir ini orang politik dan pemimpin politik terlalu banyak berpolitik. Kesannya adalah kepada rakyat sebab rakyat akan keliru dengan isu-isu yang sering dipolitikkan seterusnya boleh mengakibatkan perpecahan di kalangan rakyat.

Beta berpesan agar tidak sewenang-wenangnya melemparkan sebarang fitnah dan tohmahan serta menyebarkan berita palsu terhadap mana-mana pihak terutama kepada pihak Institusi Agama Islam Selangor,” titah baginda.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment