247 kes baharu di Indonesia

JAKARTA : Jumlah kes positif Covid-19 di Indonesia meningkat kepada 2,738 apabila 247 kes baharu dilaporkan hari ini.

Jurucakap kerajaan, Achmad Yurianto berkata, 12 kematian dicatatkan menjadikan jumlah kematian 221 orang. Jumlah pesakit yang sembuh setakat ini mencapai 204 orang.

Sementara itu, Indonesia meluluskan permintaan oleh pentadbiran Jakarta untuk mengenakan sekatan sosial berskala besar lebih lanjut di ibu kota itu, yang merupakan pusat kes Covid-19 di negara tersebut

Presiden Joko Widodo telah menumpukan perhatian kepada memerangi penyebaran penyakit itu melalui dasar-dasar penjarakan sosial, tetapi telah menentang langkah sekatan ketat yang dilaksanakan di banyak negara.

Hari ini, Menteri Kesihatan Terawan Agus Putranto menandatangani arahan pemerintah pusat yang membolehkan pemerintah Jakarta mengenakan pelbagai sekatan sosial di kawasan bandar selama dua minggu akan datang, dengan agensi negara membantu melaksanakannya.

Sekatan itu termasuk mengehadkan  acara keagamaan, kegiatan berkaitan pertahanan, kegiatan sosio-budaya, dan penutupan sekolah dan tempat kerja.

Sementara itu belum ada lonjakan pembelian panik selepas Menteri Kesihatan menetapkan pergerakan terhad Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) di wilayah Jakarta.

Beberapa pusat membeli belah memberitahu, keadaan seperti biasa, kemungkinan disebabkan masyarakat ibu kota sudah mempersiapkan keperluan mereka sejak akhir bulan lalu.

Related posts

Leave a Comment