170 kes baharu di Malaysia

PUTRAJAYA : Seorang lagi rakyat Malaysia meninggal dunia akibat Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif kematian adalah sebanyak 63, atau 1.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Mangsa seorang lelaki berusia 71 tahun, dan pernah mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan keagamaan di Sulawesi, Indonesia, dari 17 hingga 24 Mac lalu.

“Beliau telah dirawat di Hospital Enche’ Besar Hjh Kalsom, Johor pada 5 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 6 April, 2020, pukul 11.00 malam,” kata Dr Noor Hisham dalam sidang media harian, di sini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, sehingga pukul 12 tengah hari ini, terdapat 170 kes baharu yang telah dilaporkan.

Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 3,963 kes. Sehingga kini, seramai 92 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, 50 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dr. Noor Hisham berkata, terdapat 80 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 1,321 kes (33.33 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Related posts

Leave a Comment