Kuarantin di hotel RM150

PUTRAJAYA : Tidak ada pilih kasih soal penempatan kuarantin kerana kos hotel termasuk makan minum setiap rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara telah ditetapkan RM150 bagi setiap individu.

Bagi yang memilih hotel sendiri melebihi kadar itu perlu menanggung kos selebihnya tetapi masih tertakluk kepada 45 hotel yang telah ditetapkan kerajaan bagi memudahkan pemantauan.

Demikian penegasan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berhubung dakwaan pilih kasih mengenai penempatan di pusat kuarantin.

“Yang kerajaan (pilih) adalah hotel bertaraf tiga atau empat bintang, terserah kepada pengusaha hotel kalau nak beri diskaun.

“Tetapi yang lain dipilih oleh individu yang berminat untuk membayar sendiri, sebab itulah ada hotel-hotel yang kita tentukan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri mengenai Perintah Kawalan Pergarakan (PKP) di sini, hari ini.

Ismail Sabri menjelaskan, pada peringkat awal, hotel dipilih sebagai pusat kuarantin berikutan terdapat permohonan daripada kedutaan asing untuk menempatkan perwakilan mereka yang tiba di negara ini.

“Ini kerana tiada pengecualian kepada mereka yang pulang dari luar negara untuk dikuarantin, termasuk diplomat asing. Kalau mereka balik ke negara kita, mereka juga mesti dikuarantin.

“Jadi mereka minta supaya mereka tinggal di hotel yang akan dibayar oleh kedutaan masing-masing,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, terdapat juga rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara memilih dikuarantin di hotel dan sanggup membayar kos mereka sendiri.

Walaupun mereka ditempatkan di hotel, prosedur operasi standard (SOP) adalah sama seperti di pusat kuarantin lain termasuk tidak dibenarkan sama sekali keluar dari bilik atau menerima pelawat, katanya.

“Jadi kalau mereka memilih hotel sesuka hati tidak mengikut hotel yang disenaraikan, tentu sahaja kami akan menghadapi kesukaran untuk membuat pemantauan. Bayangkan hotel di Petaling Jaya ada lima orang, di Putrajaya ada lima orang, susah untuk kerajaan memantau,” katanya.

Related posts

Leave a Comment