PKPD di Menara City One

KUALA LUMPUR 30 Mac – Bukan setakat kampung, bangunan juga dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) apabila keseluruhan  Menara City One, Jalan Munshi Abdullah di sini diletakkan di bawah  perintah itu bermula tengah malam ini sehingga 13 April

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan berkata keputusan itu dibuat selepas mendapat nasihat daripada Menteri Kesihatan berikutan terdapat 17 kes positif jangkitan Covid-19 dilaporkan di menara tersebut.

PKPD ini melibatkan 3,200 orang penghuni di 502 unit kondominium dan premis perniagaan di menara itu.

“Tujuan PKPD dilaksanakan adalah untuk membendung jangkitan Covid-19 daripada menular keluar serta membolehkan aktiviti pengesanan kes dari unit ke unit dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari,” katanya dalam satu kenyataan media.

Dengan pelaksanaan perintah itu, semua penghuni tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan selain bukan penghuni dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut.

“Semua aktiviti perniagaan dihentikan kecuali premis barangan keperluan (essentials) di menara tersebut. Penghuni boleh membuat pesanan makanan yang boleh dihantar di lobi keselamatan pintu utama menara,” katanya.

Pangkalan Perubatan (Medical Base) akan dibuka di kawasan PKPD setelah semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.

Related posts

Leave a Comment