35 kes baharu di Singapura

SINGAPURA 30 Mac – Kementerian Kesihatan (MOH) mengesahkan tambahan 35 kes jangkitan Covid-19, membabitkan dua lagi rakyat Malaysia, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 879 kes.

Dalam satu kenyataan hari ini, MOH memaklumkan seorang daripada rakyat Malaysia itu adalah daripada sektor penjagaan kesihatan awam dan kini diletakkan di bawah kategori tiada kaitan domestik.

Lelaki berusia 20 tahun yang juga kes ke-853, pemegang Pas Kerja Singapura itu, berada di Singapura selama dua hari sejak 16 Mac lepas.

Dia dilaporkan mula bergejala pada 28 Mac dan keputusan ujian berikutnya petang tadi mengesahkan dia dijangkiti Covid-19.

Porter di Pusat Kebangsaan bagi Penyakit Berjangkit (NCID) itu kini dimasukkan ke bilik isolasi di pusat itu dan tidak datang bekerja selepas mengalami gejala.

Satu lagi kes import membabitkan lelaki Malaysia berusia 41 tahun yang juga pemegang Pas Kerja Singapura dan kini berada di wad Hospital Besar Ng Teng Fong.

Daripada 35 kes positif itu, sembilan adalah kes import manakala 26 kes tempatan yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.

Sembilan kes import itu mempunyai sejarah ke Eropah, Amerika Utara, Amerika Selatan, Timur Tengah dan negara-negara ASEAN.

Singapura juga telah mengenal pasti tiga kluster baharu iaitu S11 Dormitory @ Punggol di Seletar North Link, Wilby Residences di Wilby Road dan Hero’s di Circular Road.

Sehingga hari ini, 16 kes jangkitan telah dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan komuniti, menjadikan jumlah keseluruhan yang sembuh ialah 228.

Daripada 420 kes yang masih dirawat di hospital, kebanyakannya berada dalam keadaan stabil atau bertambah baik manakala 19 kritikal dan dirawat di unit rawatan rapi.

Setakat tengah hari tadi, MOH mengenal pasti 12,984 kontak rapat yang sudah dikuarantin.

Related posts

Leave a Comment