106 kes baharu, 1 kematian

KUALA LUMPUR : Malaysia mencatatkan 106 kes positif Covid-19 setakat pukul 12 , tengah hari ini (Selasa) menjadikan jumlah kumulatif adalah 1,624 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, berdasarkan siasatan awal, daripada 106 kes baharu yang dilaporkan hari ini, 43 kes adalah berkaitan kluster perhimpunan tabligh di Seri Petaling.
Sebanyak 63 kes lagi adalah berkaitan dengan lain-lain kluster dan masih lagi dalam siasatan untuk kepastian.
“Sehingga kini, seramai 64 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 27 kes memerlukan bantuan pernafasan,” jelasnya.
Dr Noor Hisham turut menjelaskan satu kematian yang dilaporkan hari ini melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 70 tahun menjadikan jumlah kumulatif kematian adalah sebanyak 15 kes.
Kes kematian ke-15 merupakan kes ke-1519, beliau mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi, dan disyaki mempunyai sejarah kontak dengan kes positif Covid-19 (iaitu kes ke-703 semasa solat Jumaat).
Pada masa sama Dr Noor Hisham turut memaklumkan, ujian makmal yang dijalankan di makmal fasiliti kesihatan kerajaan bagi mengesan jangkitan Covid-19 adalah dengan menggunakan teknik Real-Time Reverse TranscriptionPolymerase Chain Reaction (rRT-PCR).
“Ujian rRT-PCR yang dijalankan akan mengesan kehadiran virus Covid-19 yang terdapat di dalam badan pesakit. Justeru, ujian rRT-PCR Covid-19 yang positif bermaksud individu tersebut telah dijangkiti oleh virus Covid-19.
“Manakala ujian melalui teknik rapid test kit (RTK) yang kini terdapat di pasaran adalah bagi mengesan antibodi yang terhasil di dalam badan akibat jangkitan yang dialami.
Antibodi muncul di dalam badan sekitar 5-8 hari selepas jangkitan. Ujian RTK yang mengesan antibodi tidak dapat mengesan virus dan membuat
pengesahan pantas jangkitan.
“Oleh yang demikian, KKM menggesa orang ramai untuk tidak menjalani ujian RTK dengan sewenang-wenangnya tanpa mendapat khidmat nasihat dari Pengamal Perubatan, kerana ia berpotensi untuk menimbulkan salah tafsir dan keresahan terhadap keputusan ujian yang diperolehi,” katanya.

Related posts

Leave a Comment