Perbincangan sepatutnya sebelum pengkhianatan – Amanah

SEPANG – Amanah, parti komponen Pakatan Harapan (PH) menyifatkan cadangan supaya satu perbincangan antara Biro Politik UMNO dan Biro Politik PH diadakan berhubung krisis di Negeri Sembilan sebagai tidak munasabah dan tidak masuk akal.

Setiausaha Agung, Muhammad Faiz Fadzil, berkata, perbincangan sepatutnya diadakan sebelum tindakan khianat dan tebuk atap dilakukan oleh 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkenaan.

Semalam Setiausaha Agung UMNO,  Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata Mesyuarat Biro Politik UMNO mengambil ketetapan supaya satu pertemuan segera antara Biro Politik UMNO dan Biro Politik PH harus diadakan bagi merungkai beberapa isu yang melibatkan prinsip-prinsip perjuangan parti masing-masing.

Muhammad Faiz berkata, ironinya, 14 ADUN UMNO memulakan hubungan dengan lima ADUN Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan baharu di Negeri Sembilan.

“Maka ia tidak boleh ditafsirkan selain daripada tindakan khianat dan berniat jahat walaupun telah ada ‘perjanjian persefahaman’ yang dirujuk dalam kenyataan media tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Amanah mengesyorkan kenyataan tarik sokongan terhadap Menteri Besar oleh 14 ADUN UMNO itu dikutuk dan ditarik balik manakala mereka yang terlibat diberi amaran keras oleh UMNO supaya tindakan sebegini tidak berulang.

“Perlu diingatkan bahawa perbezaan pendapat boleh wujud dan sekiranya ingin dizahirkan sekalipun, masih boleh diterima.

“Akan tetapi tindakan tarik sokongan demi menjatuhkan kerajaan bersama adalah satu pengkhianatan yang tidak boleh dipandang remeh. Terma hilang sokongan kepada Menteri Besar adalah sama nilainya dengan hilang sokongan kepada Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Muhammad Faiz mendakwa wujud khilaf berhubung kedudukan sebenar Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Katanya, cara menangani kemelut berkenaan tidak bermakna Amanah dan PH tidak mempertahankan institusi Raja dan adat negeri berkenaan,

“Sebaliknya, demi menjaga imej institusi Raja dan adat, Amanah lebih cenderung kepada kaedah penyelesaian secara terhormat melalui proses perundingan dan perbincangan berbanding proses jatuh-menjatuh dan cantas-mencantas yang ingin diamalkan.

“Seharusnya UMNO mematuhi titah Yang di-Pertuan Besar bahawa Aminuddin Harun meneruskan tugas sebagai Menteri Besar.

“Amanah mengajak UMNO untuk terus bergerak ke hadapan dan mengukuhkan gabungan perpaduan serta bersama PH menguruskan negara dengan baik supaya ekonomi Malaysia kekal stabil dalam keadaan ekonomi global yang sedang meruncing,” katanya.

Nn

Related posts

Leave a Comment