SEPANG – Bukan setakat pecat Mohamad Hasan (Tok Mat) tetapi seluruh menteri dan timbalan menteri UMNO, demikian cabaran Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.
“Pemuda UMNO cabar untuk pecat bukan sahaja Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan ) tapi seluruh menteri dan timbalan menteri UMNO. Kita okay sahaja, nak tengok pemimpin kamu berani atau tidak,” katanya menerusi Facebook.
Pemuda UMNO membuat cabaran itu sebagai reaksi terhadap kenyataan pemimpin Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) yang menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim memecat Menteri Luar Mohamad Hasan daripada Kabinet..
Terdahulu, Ahli Jawatankuasa DAPSY, Jason Tze-Xi Nathan dan Ahli Majlis Eksekutif DAPSY, Kusaaliny Mahendran mendakwa Tok Mat terlibat dalam usaha membentuk kerajaan “tebuk atap” di Negeri Sembilan.
Justeru DAPSY mendesak Perdana Menteri, mengambil tindakan tegas terhadap Timbalan Presiden UMNO itu.
Dalam kenyataannya, Kusaaliny Mahendran berkata, tindakan segera perlu diambil bagi memastikan integriti pentadbiran Kerajaan Perpaduan terus terpelihara.
“Tindakan beliau yang didakwa menyokong usaha menjatuhkan kerajaan beberapa hari lalu adalah satu pengkhianatan terhadap prinsip kolektif Kerajaan Perpaduan. Tiada ruang untuk “musuh dalam selimut” dalam pentadbiran negara,” katanya.
Beliau juga menggesa kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) untuk mengkaji semula hubungan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) di peringkat pusat berikutan etidaktentuan dan provokasi politik yang dicetuskan oleh BN.
“Kerjasama ini seharusnya dibina atas dasar integriti dan kestabilan, bukannya menjadi tebusan kepada tuntutan melampau sebuah parti yang sering berubah haluan demi kelangsungan kuasa individu tertentu,” katanya.
Dalam pada itu Jason Tze-Xi Nathan menegaskan bahawa krisis politik di Negeri Sembilan pada hari ini adalah hasil daripada tindakan UMNO sendiri.
“Apakah yang cuba dirungkaikan oleh UMNO? Adakah demi kepentingan rakyat, atau sekadar usaha terdesak untuk meraih kembali jawatan yang telah terlepas akibat percaturan politik mereka sendiri tanpa rasa tanggungjawab atau keinsafan?
Adakah sikap UMNO ini merupakan manifestasi kepada falsafah di sebalik slogan “malu apa, bossku,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menggesa Perdana Menteri memecat Mohamad memandangkan beliau merupakan antara 14 ADUN UMNO yang menyokong usaha pembentukan kerajaan “tebuk atap” bersama Perikatan Nasional.
“Penglibatan beliau menimbulkan persoalan serius terhadap integriti serta kesetiaannya kepada mandat Kerajaan Perpaduan semasa,” katanya.
DAPSY juga mendapati adalah bersifat ironis apabila UMNO Malaysia, menyatakan bahawa mereka mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu, namun pada masa yang sama menghormati tindakan 14 ADUN yang mengambil kesempatan terhadap krisis Institusi Raja dan Adat Negeri Sembilan untuk mencatur langkah politik, semata-mata kerana ketamakan terhadap jawatan Menteri Besar.
Menurut beliau lagi, BN bukanlah sekutu yang ikhlas, sebaliknya bersifat oportunis, ibarat musang berbulu ayam yang bersedia untuk menikam PH dari belakang apabila timbul peluang merebut jawatan.
“Kerjasama yang tidak lagi berasaskan kepercayaan hanya akan mengundang ketidakstabilan, melemahkan pentadbiran Kerajaan Perpaduan, serta menjejaskan agenda reformasi dan kepentingan rakyat,” katanya.
Justeru DAPSY Malaysia menggesa Majlis Presiden PH menilai semula secara serius kerjasama dengan BN di peringkat Persekutuan dan di setiap negeri sambil menegaskan penilaian semula bukan lagi satu pilihan, tetapi suatu keperluan.
Nnn
