PUTRAJAYA 18 Julai – Nama Hakim Mahkamah Persekutuan, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang juga mantan Peguam Negara tidak pernah diusulkan bagi jawatan Ketua Hakim Negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata tohmahan itu hanyalah berdasarkan sebaran daripada kalangan tokoh-tokoh peguam yang berpolitik.
“Ada kononnya nama-nama yang ditonjolkan, saya boleh sebutlah Terrirudin, mantan Peguam Negara yang banyak menjalankan tugas dengan cemerlang dan sekarang Hakim Mahkamah Persekutuan.
Tetapi kerana beliau punya banyak tahun lagi, nama beliau tidak pernah pun diusulkan. Jadi dari mana (timbul tohmahan)? Saya tidak fikir ini gesaan daripada semua. Jadi saya harap dengan ini menjernihkan keadaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Istiqlal, Presint 14, hari ini.
Lewat malam tadi, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam Facebook Badan Kehakiman Malaysia mengumumkan pelantikan Hakim Mahkamah Rayuan Wan Ahmad Farid Wan Salleh, 62 sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.
Turut dilantik Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, manakala Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, menggantikan penyandang jawatan itu yang bakal bersara.
Pelantikan mereka berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
Anwar dalam pada itu menyifatkan pelantikan Ketua Hakim Negara dan beberapa hakim kanan seperti diperkenankan Yang di-Pertuan Agong membuktikan proses kehakiman kekal bebas sekali gus menepis fitnah jahat kononnya wujud campur tangan dalam proses terbabit.
Beliau berkata pelantikan berkenaan dibuat melalui proses yang telus termasuk dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja.
“Sidang Majlis Raja-Raja kali ini dengan sendirinya membuktikan bahawa pertamanya proses berjalan baik, keduanya kita tunduk kepada prinsip Perlembagaan Persekutuan Perkara 122B, ini berbeza dengan tohmahan yang berlaku sebelum ini.
“Jadi saya harap dengan penjelasan ini dan keputusan baik Majlis Raja-Raja yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong padamlah fitnah dan keluh kesah yang berlaku sebelum ini, berminggu-minggu dikecam dan difitnah,” katanya.
Beliau menggesa supaya budaya fitnah, mencerca dan mengecam tanpa merujuk kepada fakta, dihentikan.
“Ini yang pernah saya sebut dahulu dan bahawa badan kehakiman itu satu kedudukan tonggak dalam negara yang berdaulat, merdeka dan prinsip demokrasi berparlimen serta Raja Berperlembagaan.
“Jadi siapa yang mencerca memfitnah, merosakkan krisis badan kehakiman? Krisis apa? Saya tidak buang mana-mana hakim, saya tak hantar hakim ke tribunal, saya tidak mengganggu-gugat mana-mana keputusan, saya tak arah mana-mana Ketua Hakim Negara dan hakim mahkamah rayuan seperti mana pernah berlaku dahulu,” katanya.
Nnnn
