SUATU masa dulu, setiap petang ketika masih di Utusan Malaysia, mesyuarat editorial akan diadakan sama ada sebelum atau selepas Asar. Kadang-kadang lewat, mungkin pada hari berkenaan terlalu ‘kering’ maksudnya tidak ada berita menarik. Ketua setiap meja akan membaca laporan berita utama masing-masing.
Misalnya Azian akan membaca berita jenayah, Johardy ekonomi, Jailani atau Zainul sukan, Roslah atau Fikri Kota, Mus, Mowardi, Sahmsiah atau Metra luar negara dan beberapa orang lagi termasuk pengarang berita membacakan berita am. Tujuan mesyuarat untuk merancang berita utama dan kedudukannya.
Begitu juga jurugambar seperti Syed Agil, Kadir, Azhar, Rahman , Azalezah, Fatah, Aswad dan beberapa orang lagi akan membawa gambar-gambar pilihan utama dari seluruh negara untuk dipertimbangkan.
Begitulah suasana di bilik media Utusan suatu masa dulu.
Dapat dibayangkan bagaimana sibuknya warga kerja Utusan yang terpaksa bekerja walaupun diminta duduk di rumah. Mungkin juga ada yang bekerja di rumah.
Namun suasana itu sudah hilang. Tetapi andai hari itu berulang, saya percaya berita yang akan diberi perhatian adalah harga minyak turun, 130 kes baharu menjadikan 1,030 kes Covid-19 dan kematian ketiga.
Begitu juga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membantu Polis Diraja Malaysia menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai Ahad ini dan 15 petugas kesihatan termasuk 12 dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dijangkiti Covid-19.
Turut mendapat perhatian berita berkaitan Covid-19 pada hari ketiga rakyat diminta duduk di rumah, doktor ‘cabar’ PKP , Yayasan Jack Ma, Yayasan Alibaba beri sumbangan kepada empat negara Asia Tenggara dan macam-macam lagi. Begitu juga masjid dan surau tanpa solat Jumaat.
Tidak ketinggalan jika ada berita ekonomi, politik dan sukan.
Apakah berita yang sesuai untuk Muka 1? Sudah tentu berita yang boleh menarik perhatian pembaca. Selera pembaca pelbagai, maka pilihan yang dibuat tidak mampu memenuhi selera semua pembaca. Editor bersama ahli mesyuarat akan membuat keputusan sebelum merujuk kepada Ketua Pengarang.
Hari ini ada beberapa berita menarik yang boleh dijadikan pilihan. Ada kisah suka dan duka. Tetapi lebih kepada kedukaan.
Benar berita penurunan harga minyak adalah sesuatu yang mengembirakan. Sudah lama rakyat ternanti-nanti harga seumpama itu. Tetapi dalam situasi hari ini, berita itu bukan yang terbaik untuk dijadikan berita utama. Tidak ada apa yang boleh diraikan. Tiada yang menggembirakan dengan penurunan itu berbanding situasi yang sedang dihadapi.
Ke mana hendak pergi jika minyak diisi penuh sekalipun pada ketika ini? Andai tol percuma pun, ia tidak memberi makna. Pergerakan kita sehingga hujung bulan ini terbatas. Mungkin lebih lama jika masih ada yang tidak menghargai usaha kerajaan.
Bagi saya dua berita yang perlu difokuskan (tidak mengambil kira berita lain yang di luar pengetahun saya kerana tidak lagi di editorial media) adalah penglibatan ATM, petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 dan kematian ketiga. Walaupun boleh menimbulkan panik dalam kalangan rakyat tetapi itu antara yang terbaik bagi mengingatkan mereka yang masih tidak mengambil serius arahan ‘duduk di rumah’.
Rakyat perlu diperingatkan bahawa mereka wajib memberi kerjasama untuk membendung wabak ini dan bagi tujuan itu, tentera boleh membantu. Bukan bermaksud mahu mengisytiharkan darurat tetapi membantu penguatkuassan secara lebih tegas dan menyeluruh. Tetapi tidak mustahil jika keadaan memaksa.
Begitu juga kes petugas kesihatan dijangkiti virus maut tersebut. Seorang daripada mereka telah dimasukkan ke dalam unit rawatan rapi. Rakyat atau pembaca perlu diperingatkan bahawa virus ini tidak mengenal sempadan, tanpa mengira status bangsa, agama atau profesion. Virus ini hanya boleh dihalang dengan kerjasama orang ramai bagi menghentikan rantaiannya atau penyebaran wabak.
Media harus menarik simpati rakyat kepada petugas barisan hadapan negara ini terutama dalam perkhidmatan kesihatan. Mereka banyak berkorban ketika orang lain berkurung di rumah bersama keluarga. Melalui simpati itu, rakyat seluruhnya dapat berfikir sejenak bahawa mereka boleh menjadi punca kepada penyebaran wabak sekiranya gagal mematuhi peraturan yang diwujudkan..
Rakyat perlu disedarkan bahawa kes semakin meningkat dan jumlah mereka yang mempunyai potensi membawa wabak tidak dapat dikesan. Kerjasama orang awam atau rakyat amat penting terutama kumpulan tabligh yang menyertai perhimpunan di Masjid Sri Petaling baru-baru ini. Mereka ini perlu ‘keluar menyerah diri’ bukannya memberi alasan perlu duduk di rumah.
Begitulah penilaian terhadap berita yang bakal menghiasi media cetak. Apabila semua keputusan mengenai kedudukan berita dibuat, artis grafik misalnya Rizal, asani, Uzir dan Arma akan merangka layout bagaimana susunan berita, kedudukan gambar, quatation dan blurb (tajuk kecil).
Entah apa wajah Utusan Malaysia andainya masih wujud. Apa pun kita tunggu tajuk utama surat khabar yang masih bernafas.
Akhirnya dialog untuk Senyum Kambing. Agaknya apa dialog Kambing yang sesuai.
Mungkin begini :
1 > Harga minyak turun 2> Tapi Covid-19 naik.