‘Walk-in’ seluruh negara minggu depan

PUTRAJAYA 2 Ogos – Vaksinasi secara jumpa terus atau “walk-in” bagi warga emas diperluaskan ke seluruh negara mulai minggu hadapan, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.

Langkah itu bertujuan mencapai sasaran untuk sekurang-kurangnya lebih 40 peratus populasi warga dewasa bagi setiap negeri mendapat suntikan vaksin.

Khairy berkata, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) telah membuat keputusan hari ini untuk memperluaskan kaedah “walk-in” khususnya bagi warga emas di seluruh negara bermula daripada minggu hadapan.

“Ada negeri-negeri yang telah mula dan ada negeri-negeri yang akan bersedia untuk menerima ‘walk-in’ untuk semua warga emas yang masih lagi belum menerima vaksin mereka di PPV yang ada di negeri-negeri,” katanya pada sidang media mingguan perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan hari ini.

Katanya, pengumuman lanjut akan dibuat oleh CITF negeri-negeri namun secara dasarnya CITF di peringkat persekutuan telah membuat keputusan dan memberikan kuasa kepada CITF negeri untuk memulakannya.

Selain itu jelasnya warga emas bagi seluruh warga Lembah Klang boleh terus hadir secara ‘walk-in’ ke mana-mana PPV yang ada untuk mendapatkan suntikan vaksin jika masih belum memperolehi suntikan.

Related posts

Leave a Comment