Tok Undang: SUA MB minta maaf

SEREMBAN 15 Jun – Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Ahmad Shahir Mohd Shah memohon maaf kepada Undang Yang Empat susulan tindakannya memetik gelaran Institusi Undang ketika Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Jumaat lalu.

Ahmad Shahir berkata sebagai anak Negeri Sembilan yang menjunjung tinggi adat, budaya dan Institusi Undang, beliau memandang serius penggunaan gelaran “Dato’ Undang” kerana ia melibatkan sensitiviti Institusi Adat Perpatih yang sewajarnya dihormati semua pihak tanpa mengira fahaman politik.

“Saya mulakan dengan permohonan maaf kepada Udang Yang Empat atas tindakan saya yang berseloroh dengan Setiausaha Agung DAP yang juga Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke dengan memetik gelaran yang diberi dalam media sosial kepada beliau (sebagai) ‘Tok Undang’.

“Atas kekhilafan tersebut, saya menginsafi dan berharap agar isu ini dapat menjernihkan kekeruhan yang berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini.

Setiausaha Pemuda Amanah itu berkata PH sentiasa menghormati serta mempertahankan kemuliaan Institusi Undang sebagai warisan berharga yang menjadi identiti dan kebanggaan Negeri Sembilan.

Shahir semasa menjadi pangacara majlis tersebut ketika menjemput Loke berucap dilaporkan menyebut “Dekat Negeri Sembilan, orang panggil YB Anthony Tok Undang tau (sambil ketawa)… Tok Undang yang kelima..saya persilakan YB Anthony,”.

Terdahulu Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari membidas tindakan menggelarkan Menteri Pengangkutan, itu sebagai ‘Tok Undang Kelima’.

Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, tindakan tersebut sebagai satu penghinaan terhadap Institusi Diraja dan adat yang perlu dihormati oleh semua pihak.

“Siapa yang panggil Anthony Loke sebagai Tok Undang tu? Jangan nak berseloroh dengan institusi raja, ini benar-benar merupakan satu penghinaan,” katanya menerusi hantaran Facebook pada Ahad.

Sementara Ketua Pemuda Pas Negeri Sembilan, Muhammad Irsyaduddin Mohd Fadzil berkata, pihaknya turut mengecam sekeras-kerasnya individu itu yang telah mengeluarkan kenyataan berbentuk penghinaan terhadap Institusi Undang Yang Empat Negeri Sembilan.

“Kenyataan tersebut adalah tidak wajar, biadab dan dilihat mempermainkan kedudukan Institusi Undang Yang Empat yang merupakan institusi adat tertinggi serta mempunyai kedudukan yang amat dihormati dalam sistem pemerintahan Negeri Sembilan,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment