Zakat PP bantu peniaga terjejas

PULAU PINANG : Zakat Pulau Pinang memperuntukkan RM3 juta bagi membantu golongan yang pendapatan mereka terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 hingga 31 Mac ini akibat penularan wabak Covid-19.

Pakej Bantuan Khas Zakat itu menyasarkan peniaga kecil, penjaja gerai tepi jalan, peniaga pasar malam, pasar tani dan sebagainya yang menjalankan perniagaan mereka secara tetap dengan pendapatan bulanan kurang RM2,000 sebulan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, tukang gunting rambut secara kecil-kecilan, peniaga barang keperluan dapur juga boleh mengemukakan permohonan mulai esok.

Permohonan secara atas talian melalui laman web ZPP iaitu www.zakatpenang.com.

Katanya, setiap peniaga (ketua keluarga) layak mendapat RM500 sekaligus dengan pengesahan kariah masjid di mana peniaga itu tinggal..

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang turut mengumumkan peruntukan RM305,600 untuk membantu lebih 700 buah masjid dan surau di negeri itu melakukan kerja-kerja pembersihan nyah kuman.

Setiap masjid dan surau dianggarkan akan menerima bantuan RM300 hingga RM500 di mana kerja-kerja itu dilakukan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang.

Related posts

Leave a Comment