Ronald Kiandee digugur Beluran kekal BN

KOTA KINABALU 4 Nov. –  Seorang lagi anggota Kabinet, Dr Ronald Kiandee, digugurkan daripada senarai pencalonan selepas kerusi Parlimen Beluran yang disandang Naib Presiden Bersatu itu sah ditandingi Barisan Nasional (BN).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan itu menyandang kerusi Parlimen Beluran sejak 1999 dan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu menang atas tiket BN sebelum meninggalkan UMNO untuk menyertai Bersatu.

Berikutan rundingan akhir dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), malam tadi, Beluran dikembalikan kepada BN.

Pengerusi BN Sabah,  Bung Moktar Radin, dalam kenyataan lewat malam tadi berkata BN mencalonkan bekas Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Benedict Asmat bagi membawa cabaran gabungan itu di kerusi berkenaan.

Menurut Bung, pemilihan Benedict mengambil kira latar belakangnya sebagai anak jati Beluran, selain pernah berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah Beluran selama 20 tahun sebelum dilantik menjawat beberapa jawatan penting kerajaan.

“Beliau juga pernah menjadi Pegawai Daerah Semporna, Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah,” katanya.

Selain berpengalaman luas dalam sektor perkhidmatan awam, Benedict juga bergiat aktif dalam beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kini menjadi Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).

Setakat ini, belum ada sebarang maklum balas daripada GRS atau Ronald mengenai keputusan yang memihak kepada BN itu, namun timbul spekulasi kemungkinan berlaku kejutan pada hari penamaan calon, esok.

Sementara itu, Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah, turut mengumumkan pertukaran calon BN bagi kerusi Parlimen Kalabakan yang kelmarin diberikan kepada Ketua Pemuda UMNO Kalabakan, Aslan Fadli Samsul Alang.

Aslan Fadli digantikan dengan Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Andi Muhammad Suryady Bandy.

Andi Muhammad yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pernah menjadi jurutera di beberapa syarikat terkemuka negara sebelum beralih ke dunia perniagaan dan pernah dilantik sebagai Bendahari Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia Sabah.

Bung Moktar berkata, BN Sabah memutuskan untuk menamakan calon baharu di kerusi Parlimen Kalabakan disebabkan masalah teknikal.

“BN Sabah yakin kedua-dua calon yang berlatarkan pendidikan tinggi, berkelayakan profesional dan bersedia berkhidmat mampu menggalas amanah mewakili kepentingan rakyat apabila dipilih kelak,” katanya.

Related posts

Leave a Comment