110 kes baharu, kini 900

PUTRAJAYA 19 Mac – Sebanyak 110 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan setakat 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 900 kes, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.
Beliau berkata 63 daripada 110 kes baharu itu berkaitan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, baru-baru ini.
“Sehingga kini, seramai 20 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.
Katanya sebanyak 15 kes telah pulih dan dibenarkan discaj dari wad hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada wabak itu adalah 75.
Dalam pada itu, Dr Adham berkata kesedaran masyarakat tentang penjarakan sosial telah menyumbang kepada trend penularan wabak Covid-19 kekal di paras mendatar dalam tempoh beberapa hari terakhir. 
Beliau berkata penjagaan diri dalam aspek kebersihan dan pematuhan pada arahan yang dikeluarkan pihak Kementerian Kesihatan juga menyaksikan pertambahan kes baharu positif Covid-19 sejak beberapa hari lepas tidak menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding pada awal penularan wabak itu. 
“Setakat ini, kita belum boleh katakan trend itu disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan tetapi lebih kepada kesedaran masyarakat, khususnya pematuhan arahan penjarakan sosial. 
“Kita harap dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ini kita dapat putuskan rangkaian penyebaran wabak sekali gus menghalang Covid-19 daripada terus menular,” katanya. 

Related posts

Leave a Comment