JIMBA meriah dengan pakej umrah

BANGI 1 Sept.  – Karnival Jelajah Impian & Mimpi Bersama Andalusia (JIMBA) di pekarangan Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi meninggalkan pelbagai kenangan manis kepada pengunjung dan peserta yang turut menyertai pelbagai program.

Selama dua hari (29 & 30 Ogos), Karnival JIMBA Bangi itu secara tidak langsung juga dapat mendekatkan diri masyarakat dengan masjid dan mengetahui pelbagai aktiviti pengimarahan di masjid terbaik Selangor itu.

Pada masa yang sama karnival ini turut  memberi peluang kepada masyarakat mengenali lebih dekat dengan pengendali haji dan umrah terulung di negara ini, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia).

Pengunjung berpeluang mendapatkan pelbagai maklumat bukan sekadar berkaitan pakej haji dan umrah tetapi juga pakej melancong ke seluruh dunia di samping membeli pelbagai produk termasuk makanan dan minuman pempamer dan peniaga.

Selain program berkaitan agama dan ilmu termasuk Maulid, Bangi Berselawat, Kursus Umrah, Bicara Santunan Jiwa, Kuliah Dhuha dan Super Solat Squad, Karnival JIMBA turut menghidupkan suasana menyambut Hari Kemerdekaan ke-69.

Berbagai-bagai aktiviti melibatkan pelbagai peringkat umur termasuk kanak-kanak sedikit sebanyak dapat memupuk semangat perpaduan dan cintakan negara menerusi Pertandingan Misi Keluarga Patriot, Pertandingan Pentas Puisi Merdeka dan Pertandingan Mewarna Merdeka.

Kemuncaknya, menjelang detik 12 malam, diadakan segmen Semarak Merdeka dengan kibaran bendera dan nyanyian lagu patriotik.

Ia turut melibatkan tonggak Andalusia iaitu Pengarah Urusan, Ibrahim Mat Sin, Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris dan Pengerusi Eksekutif Andalusia, Md. Daud Che Ngah.

Sebelum itu pun Andalusia di ibu pejabat syarikat di Desa Pandan, Kuala Lumpur telah menganjurkan sambutan Hari Kemerdekaan dalam kalangan warga kerjanya.

Sambutan itu dimulakan dengan nyanyian lagu-lagu patriotik sambil warga kerja mengibarkan Jalur Gemilang disusuli dengan laungan Merdeka sebanyak tujuh kali.

Lebih meriah apabila para pekerja turut mengambil bahagian dalam aktiviti menghias ruang kerja masing-masing dengan hiasan bertemakan Hari Kemerdekaan.

Menurut Ida Riswana, semangat kemerdekaan mengajar masyarakat tentang pentingnya kegigihan dan keberanian dalam menghadapi cabaran untuk mencapai kejayaan.

“Semangat kemerdekaan sebenarnya mengajar kita tentang dua perkara, iaitu kegigihan dan keberanian. Perkara yang sama turut diterapkan dalam perjalanan Andalusia yang dibina daripada tiada sehingga berkembang seperti sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, pengunjung JIMBA turut menerima kejutan apabila Ibrahim tampil mengumumkan lima hadiah tambahan berupa pakej umrah kepada para pengunjung sebagai tanda penghargaan Andalusia atas sokongan mereka selama dua hari.

Pada awalnya, sebelum itu hanya satu pakej umrah ditawarkan iaitu pakej umrah transit Sharjah bernilai RM6,390 yang dimenangi Hanan Al Iman El Azzam Ahmad Fuad.

Lima pakej umrah tambahan kepada pengunjung yang diumumkan Ida Riswana adalah dua pakej transit Doha bernilai RM6,990, dua pakej umrah Abu Dhabi separuh hari  bernilai RM8,390 dan satu pakej umrah ziarah Abu Dhabi dan Dubai bernilai RM9,990.

Bagi kesemua lima pakej tambahan itu, pemenang termasuk orang awam, peniaga dan petugas masjid kekal berada pada program walaupun sudah melebihi pukul 11 malam.

Pakej Abu Dhabi Dubai dimenangi Muhammad Afiq Ikhwan Zamri sementara dua pemenang Abu Dhabi adalah Muhammad Amir Marzhuki dan Siti Rohana Ramli manakala pakej Doha dimenangi Nur Salsabila Pazim @ Fadzim dan Mohd Khadri Abdul Aziz.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment