Semalam, terlepas peluang rakam sejarah

ANDAI Utusan Malaysia masih ada, bagaimana agaknya rupa atau wajah  muka depan hari ini? Biasanya pada hari  berlaku peristiwa besar, suasana di pejabat agak sibuk. Walaupun media rasmi sahaja ke Istana Negara, banyak lagi kerja lain perlu dilakukan oleh wartawan dan jurugambar supaya laporan berkaitan yang diterbitkan keesokannya memuaskan hati pembaca.

Masih terbayang mesyuarat editorial pada sebelah petang. Selain membincangkan berita utama, mesyuarat akan melihat gambar-gambar yang dibawa oleh pegawai atau ketua unit foto yang bertugas. Sekadar beberapa nama seperti Syed Agil, Kadir Bachok, Rahman Salleh, Azalezah Malek, Azhar Mogo, Norbaini dan Fatah. Jika liputan untuk media rasmi, gambar akan dibekalkan oleh Bernama.

Agak sibuk juga jika ada peristiwa besar seumpama itu, termasuklah ketika  pembentangan bajet, pembentukan Kabinet, Perhimpunan Agung UMNO dan beberapa peristiwa atau tragedi .

Atas cadangan mesyuarat, artis grafik akan mencadangkan gambar pilihan. Bersama pengarang prosesan atau sesiapa yang diberi tanggungjawab membuat muka satu, mereka akan merancang lay out yang sesuai termasuk kedudukan gambar.. Begitu juga sama ada perlu digunakan muka depan dan belakang (wrapround) bagi merakam peristiwa itu. Penglibatan visualiser amat penting. Biasanya Rizal, Sani, Arma atau Ruzmi akan memberi cadangan.

Begitulah kerja di editorial setiap hari terutama pada hari-hari peristiwa penting.

Dibincangkan juga sama ada perlu karikatur atau sekilas fakta mengenai peristiwa berkenaan. Kartunis seperti Maro dan Shah akan diminta menguruskannya. Tidak ketinggalan juga Senyum Kambing dan Awang Selamat akan turut menyentuh isu berkenaan.

Sekiranya Utusan masih ada, apa agaknya dialog SENYUM KAMBING hari ini?

Paling biasa 1.Muhyiddin dilantik PM kelapan. 2. Tahniah. : 1. Dulu dipecat, hari ini jadi PM 2 : Begitulah ketentuan Ilahi. : 1.Muhyiddin angkat sumpah PM 2: Masa untuk bekerja.

Turut sibuk adalah petugas UMES yang mencari iklan ucap tahniah. Editorial akan ‘bergaduh’ dengan UMES terutama Azizan yang membuat tempahan muka surat jika berlaku ‘tarik tali’ dalam pengisian iklan itu. Dia kerap jadi ‘mangsa’ jika iklan tidak siap mengikut jadual.

Pemasaran juga akan diminta merancang jumlah cetak. Pengurus pemasaran, Rosman akan dimaklumkan mengenai potensi berita muka depan boleh meningkatkan jualan. Beliau serta anak-anak buahnya ada strategi sendiri. Pihak pengeluaran juga akan dimaklumkan supaya tidak ada masalah ketika cetak. Biasanya mereka meminta offstone dipercepatkan.

Itu cerita suatu masa dulu. Sayang sekali, semalam dan hari ini, Utusan tidak dapat merakamkan peristiwa bersejarah itu. Utusan sendiri sudah menjadi sejarah. Bekas warga kerja Utusan hanya mampu menatap muka depan akhbar-akhbar tempatan yang masih berada di pasaran..

Utusan sebuah akhbar Melayu yang berusia 80 tahun tidak dapat merakam kemuncak kejayaan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. Muhyiddin sebelum ini amat dekat dengan Utusan sama ada sebagai Menteri Besar Johor, menteri Kabinet dan juga Timbalan Perdana Menteri.

Ketika bertugas di Johor Bahru, masih dalam ingatan saya, Muhyiddin dijemput merasmikan kilang percetakan Utusan di Tebrau, Johor. Beliau turut berperanan untuk merealisasikan kilang percetakan itu. Sedikit demi sedikit Utusan berjaya bersaing dengan akhbar saingannya di Johor. Kini kilang itu juga terpaksa dijual.

Utusan hanya sempat merakamkan kejayaan dan kejatuhan Muhyiddin pada masa lalu. Antara laporan itu termasuklah pelantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas Najib Razak dilantik sebagai Perdana Menteri ke-6. Begitu juga pengguguran sebagai Timbalan Perdana Menteri dan pemecatan bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO. Itu sejarah buat Muhyiddin yang sempat dirakam Utusan.

Apa pun tahniah kepada Muhyiddin. Satu tugas berat. Cukup di sini sahaja. Saya mahu ‘mengejar offstone!’.

Related posts

One Thought to “Semalam, terlepas peluang rakam sejarah”

  1. Arma Rizal

    Antara kenangan terindah bekerja bersama Datuk.

Leave a Comment