Bertindak terhadap imej hina Sultan Selangor

SEPANG 26 April  – Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor mengecam dan akan membuat laporan polis berhubung tindakan durjana pihak tidak bertanggungjawab yang menyunting serta menyebarkan imej penghinaan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pengerusinya Megat Zulkarnain Omardin berkata, perbuatan jijik itu bukan sekadar menghina peribadi Baginda, malah penghinaan terbuka terhadap institusi Kesultanan Selangor, lambang kedaulatan negeri, payung rakyat serta tonggak keharmonian yang wajib dipertahankan.

“Tindakan biadab seperti ini jelas menunjukkan sikap melampau, tidak bertamadun dan tidak menghormati undang-undang, adat serta tatasusila rakyat Malaysia.

UMNO Selangor menegaskan bahawa mana-mana pihak yang berani memperlekeh, menghina atau mencabar martabat institusi diraja mesti dikenakan tindakan paling tegas tanpa sebarang kompromi. Tiada ruang toleransi terhadap penghinaan seumpama ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor akan membuat laporan polis agar siasatan segera dijalankan, mengenal pasti dalang sebenar, pelaku ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin.

Terdahulu tular menerusi Facebook penghinaan terhadap Sultan Selangor dengan pemilik akaun meletakkan imej wajah babi.

Susulan itu, aktivis masyarakat, S Chandrasegaran atau lebih dikenali sebagai Cikgu Chandra membuat laporan polis di Balai Bandar Kinrara, Serdang pada pukul 11 malam semalam bagi mendesak pihak berkuasa menyiasat pekara ini.

“Pada 25 April, lebih kurang 10.03 malam, saya terlihat satu perkongsian gambar dalam akaun Facebook oleh akaun Huayan The Pureland Learning Centre. Posting yang dimuat secara terang terangan menghina Sultan Selangor,” katanya.

Dalam pada itu, Megat Zulkarnain juga mendesak Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta semua agensi penguatkuasaan bertindak pantas dan tegas tanpa sebarang kelewatan.

“Jangan sesekali ada pihak menyangka penghinaan terhadap Sultan Selangor boleh dipandang ringan atau dilepaskan begitu sahaja. Rakyat Selangor menjunjung tinggi institusi diraja dan tidak akan berdiam diri terhadap sebarang cubaan mencemarkan maruah negeri ini.

UMNO Selangor akan terus berdiri teguh di barisan hadapan mempertahankan maruah DYMM Sultan Selangor serta kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu daripada sebarang penghinaan dan ancaman,” katanya.
Nnn

Related posts

Leave a Comment