SEPANG 22 April – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) membuat laporan polis terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan Wong Siew Ki yang didakwa menghina dan mempertikaikan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Ketua Penerangan Putra, Shahrulufti Sharif membuat laporan polis itu di Balai Polis Petaling Jaya awal pagi ini.
Dalam laporannya, beliau berkata, ADUN berkenaan jelas menghina titah Sultan Selangor yang merupakan ketua negeri, ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu walaupun Perkara 8 menyebut kesamarataan di sisi undang-undang.
“Perlembagaan juga menegaskan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan (Perkara 3) serta hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera (Perkara 153). Oleh itu hujah beliau adalah tidak tepat dan boleh mengelirukan rakyat,” katanya.
Beliau juga mendakwa ucapan Siew Ki melanggar garis panduan 3R (Raja, Agama, Kaum) dan meminta pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap ADUN berkenaan.
Siew Ki semasa membahaskan titah ucapan Sultan Selangor baru-baru ini memohon pertimbangan kerajaan negeri memberi ruang kepada penerokaan sistem penternakan babi secara moden dan tertutup di Selangor.
Katanya, cadangan tersebut mengambil kira aspek kesamarataan warganegara seperti yang dijamin di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.
Kenyataan itu kemudiannya mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk Putra yang menuntut Siew Ki menarik balik ucapannya dan memohon maaf serta menanti tindakan tegas kerajaan negeri berhubung isu itu.
“Jangan biarkan ucapan biadab dan kurang ajar ini mencabar kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan merendahkan titah Sultan,” kata Shahrulufti sambil menegaskan Putra berdiri teguh mempertahankan Islam, institusi Raja, dan asas Perlembagaan.
Dalam kenyataannya semalam, Putra menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengangkat isu penternakan babi sebagai agenda politik, apatah lagi dengan cara yang menghina agama Islam dan menderhaka kepada Raja.
Pada masa sama Putra menjelaskan babi tidak sama dengan haiwan lain malahan menyamakan penternakan babi dengan ternakan halal adalah penghinaan terhadap prinsip Islam dan sensitiviti masyarakat Melayu-Islam.
Isnin lalu, Sultan Sharafuddin ketika bertitah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menegur sikap segelintir pihak yang masih tidak berpuas hati serta enggan mematuhi titah larangan penternakan babi di negeri ini.
Baginda bertitah, meskipun arahan telah dikeluarkan sebelum ini, masih kedengaran rungutan yang mempertikaikan keputusan berkenaan.
“Beta telah memberikan faktor-faktor kenapa ternakan babi tidak sesuai di negeri Selangor antaranya faktor tanah yang tidak mencukupi dan ternakan babi diadakan di kawasan penempatan penduduk yang padat dengan umat Islam.
“Di samping itu isu pencemaran sungai dan udara juga menjadi faktor kenapa ternakan babi di negeri Selangor tidak sesuai,” titah baginda.
Nnnn
