PUTRAJAYA 25 April – Bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Abdul Halim Aman dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu berkuat kuasa 13 Mei ini.
Pelantikan itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selaras dengan subseksyen 5(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694).
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam kenyataan hari ini memaklumkan, cadangan pelantikan itu dipersembahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Yang di-Pertuan Agong semalam.
Menurutnya, kerajaan yakin Abdul Halim yang mempunyai pengalaman luas serta integriti tinggi mampu memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap usaha membanteras rasuah.
“Pelantikan ini juga diyakini dapat memperhebat agenda pembanterasan rasuah demi kepentingan negara,” katanya.
Beliau menggantikan Tan Sri Azam Baki yang tamat kontrak pada 12 Mei ini.
Semalam, Sultan Ibrahim bertitah akan memilih Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu bagi menerajui suruhanjaya berkenaan.
Baginda bertitah, jawatan berkenan amat penting dalam memastikan SPRM terus berperanan secara berkesan sebagai institusi utama negara dalam membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
Abdul Halim dilahirkan pada 10 Mac 1957 di Kampung Alai, Melaka, memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Malaya pada tahun 1982 dan kemudiannya menamatkan Ijazah Sarjana Undang-Undang di University of Hull pada 1996.
Beliau memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada tahun 1982, berkhidmat dalam pelbagai jawatan selama 22 tahun, termasuk sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara, majistret di Kluang dan Muar, penolong kanan pendaftar di Mahkamah Tinggi Melaka, serta hakim Mahkamah Sesyen di beberapa lokasi termasuk Tawau, Sandakan, Kuala Lumpur, George Town dan Ampang.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Peguam Kanan Persekutuan di Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara, selain menjadi Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Timbalan Pendakwa Raya, serta Ketua Bahagian Penyelidikan di Pejabat Ketua Hakim Negara.
Pada tahun 2005, beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi Temerloh sebelum dipindahkan ke Kuantan pada tahun 2006. Beliau dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada tahun 2007.
Beliau kemudiannya berkhidmat di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang (2009) dan Mahkamah Tinggi Johor Bahru (2010) sebelum tempoh perkhidmatan panjangnya di Mahkamah Tinggi Shah Alam dari 2013 hingga persaraan wajibnya pada Mac 2023.
