Askar mengamuk ditembak mati

BANGKOK 9 Feb. – Selepas bersembunyi selama 17 jam, akhirnya anggota  tentera Thailand yang mengamuk dan melepaskan tembakan rambang semalam ditembak mati di sebuah pusat membeli-belah di Nakhon Ratchasima di timur laut Thailand.

Komander Pusat Perintah Tentera Darat Wilayah Kedua Leftenan Jeneral Thanya Kriatisarn berkata, Jakrapanth Thomma yang berusia 32 tahun ditembak oleh pasukan keselamatan kira-kira pukul 9 pagi ini.

Dalam kejadian tembakan rambang itu, sebanyak 26 orang terbunuh dan 57 lagi cedera.

Motif di sebalik serangan itu dipercayai akibat dendam berkaitan satu perjanjian tanah dan suspek percaya bahawa dia telah ditipu. Dia telah menyerang dan membunuh pegawai pemerintahnya dan dua lagi di Kem Tentera Surathampithak.

Dia turut mengambil selaras senjata api jenis Heckler & Koch HK33 dan peluru dari artileri sebelum melarikan diri dengan sebuah kenderaan Humvee. Dia kemudian melepaskan berdas-das tembakan rambang di beberapa lokasi termasuk sebuah kuil Buddha di bandar itu.

Suspek yang memakai topi tentera turut melepaskan tembakan rambang ke arah orang awam semasa memandu dari kem tentera itu ke pusat membeli-belah Terminal 21.

Suspek juga telah melakukan penstriman secara langsung mengenai serangan itu di Facebook dan memuat naik swafotonya yang sedang memegang selaras raifal. 

“Keletihan. Saya hampir tidak mampu menggerakkan jari-jemari saya,” tulisnya di video yang dimuat naik pada kira-kira pukul 7.30 malam (waktu tempatan). Bagaimanapun, video itu kemudian telah dikeluarkan. 

Bangkok Post dalam laporan muka depannya hari ini turut menyiarkan foto suspek itu.

Sementara itu,  Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel berkata, tidak ada rakyat Malaysia terlibat dalam insiden tembakan rambang itu.

Related posts

Leave a Comment