‘Virus’ berita palsu bawa mudarat

SERANGAN wabak Koronavirus bukan sekadar merisaukan penduduk dunia tetapi juga diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk menyebarkan berita palsu atau berita tidak benar. Kreativiti mereka mengolah ‘peristiwa’ menjadikan ‘cerita’ yang palsu atau berbentuk andaian dan ramalan sebagai benar.

Apakah tujuan mereka? Gurauan? Mungkin ada juga yang berniat baik tetapi apabila tersalah fakta, tersalah maklumat, ditambah pula khalayak penerima yang malas menyelidik, menyebabkan ramai yang terperangkap. Mereka turut menjadi penyebar.  Akhirnya timbul rasa panik dalam kalangan masyarakat.

Di negara kita, kerajaan telah memgambil tindakan tegas untuk membendung tindak tanduk ini yang boleh menimbulkan keresahan dan kekalutan. Nampaknya kali ini apabila tercetus wabak Koronavirus, pihak berkuasa bertindak agresif. Tindakan mereka lebih pantas berbanding sebelum ini.

Ini satu langkah yang baik. Tidak perlu menunggu terlalu lama atau menanti laporan polis. Tindakan segera boleh menimbulkan rasa takut atau bimbang dalam kalangan masyarakat supaya mereka lebih berhati-hati, berfikir dua kali atau tidak memandang remeh perbuatan menyebarkan berita tidak benar.

Golongan yang suka mencipta, menyebar sesuatu yang tidak benar ini perlu disedarkan bahawa tindak tanduk mereka sedang diperhatikan. Bukan setakat berita palsu mengenai penyakit tetapi juga isu lain yang faktanya tidak tepat, berbentuk rekaan atau khayalan.

Ketika ini, ada sahaja berita tidak benar yang datang dalam bentuk teks, video atau audio. Kecanggihan teknologi menyebabkan sesuatu yang palsu kelihatan benar.

Berkaitan Koronavirus ini, beberapa kes telah pun diambil tindakan. Kita tunggu dan lihat sejauh mana ketegasan kerajaan dapat menyedarkan masyarakat. Jangan hangat-hangat tahi ayam atau sekadar memilih kes.

Seperti wabak Koronavirus yang begitu pantas merebak, berita palsu juga pantas berlegar dalam kalangan masyarakat. Pergerakannya begitu pantas melalui media sosial. Akibatnya masyarakat menjadi cemas, takut dan gelisah sedangkan hakikat sebenarnya tidak ada apa yang perlu dibimbangkan. Yang penting, ikuti nasihat pihak berkuasa.

Di Singapura baru-baru ini timbul suasana panik apabila tersebar berita mengenai kekurangan bekalan makanan. Begitu juga beberapa isu lain yang turut melibatkan ahli politik. Antara laporan tidak benar yang mendapat perhatian pejabat Pofma (Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian) adalah berkaitan Koronavirus.

Laman berita AB-TC City News diminta membetulkan laporan setelah menyiarkan laporan yang mendakwa bahawa lima warga Singapura mengalami Koronavirus Wuhan tanpa mengunjungi China. Laporan itu turut dikongsi oleh ahli Parlimen politik pembangkag dan Kumpulan Say No to PAP di laman Facebook masing-masing.

Dua pengguna Facebook juga diarah membetulkan laporan kononnya stesen Woodlands ditutup untuk kerja pembersihan kuman berikutan terdapat kes koronavirus Wuhan yang disyaki. Turut diarah membetulkan lapiran adalah seorang pemilik facebook States Times Review (STR) yang mendakwa Singapura kehabisan bekalan pelitup sejak 26 Januari, malah mendakwa secara palsu, seorang menteri mengesahkan kehabisan itu.

Amat malang ketika masyarakat sedang bergelut menghadapi wabak yang belum ada penawarnya, ada pula pihak yang bergerak bagai virus yang meracuni fikiran.

Related posts

Leave a Comment